Hukuman pecat dibatal, pencabar Samy sambut baik

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI, 5 PETANG] KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini membatalkan hukuman memecat bekas Naib Presiden MIC Datuk M. Muthuppalaniappan, yang pernah menyatakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu pada pemilihan presiden parti.

Dengan itu, bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan tersebut layak untuk terus menikmati segala hak yang diperuntukkan oleh parti itu.

Ini termasuklah memegang jawatan di peringkat cawangan dan bertanding apa juga kedudukan dalam parti jika layak berbuat demikian.

Keputusan membatalkan hukuman memecat diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel selepas mempengerusikan mesyuarat CWC lebih tiga jam.

Dalam reaksi segera, Muthuppalaniappan ketika dihubungi mStar Online berkata, beliau gembira dengan keputusan tersebut.

Ketika ditanya sama ada masih berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden - kemungkinan diadakan April atau Mei ini, beliau berkata, "pendirian yang saya umumkan dulu masih kekal."

Bagaimanapun katanya, sama ada beliau akan layak bertanding ia bergantung pada pencalonan yang boleh diterimanya kelak.

"Kita tunggu dulu jawapan balas (daripada ibu pejabat parti)," kata beliau sambil menambah, "saya gembira untuk mengetahui bahawa CWC mengambil satu keputusan yang baik demi kepentingan MIC dan masyarakat India secara keseluruhannya."

Muthupalaniappan, 68, bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan, dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin atas alasan mengeluarkan kenyataan memudaratkan MIC kepada akhbar-akhbar bahasa Tamil dan portal berita Malaysiakini.

Surat pemecatannya ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri G. Vadiveloo yang tidak hadir mesyuarat CWC hari ini kerana kurang sihat.

KEPUTUSAN CWC

Ketika menjelaskan keputusan CWC, Palanivel memberitahu, pihaknya memutuskan bahawa keputusan Jawatankuasa Disiplin adalah tepat, tetapi dengan mengambil kira jasa Muthuppalaniappan kepada parti selama ini, CWC membatalkan hukuman tersebut.

Di sebalik peluang itu, kata beliau, CWC memberi amaran kepada Muthuppalaniappan.

"Dengan ini kami memberi amaran yang tegas dan memberi peluang kepada Muthuppalaniappan supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan parti.

"Jika beliau keluarkan apa jua kenyataan yang menjejaskan kepentingan parti, Muthuppalaniappan akan dipecat dari parti serta-merta," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat MIC sebentar tadi.

Mesyuarat CWC bermula pada pukul 10 pagi tadi dengan dipengerusikan oleh Samy Vellu.

Namun oleh kerana isu itu ada kaitan dengan pemilihan Presiden MIC, Samy Vellu berundur daripada terus mempengerusikan mesyuarat CWC.

Palanivel mempengerusikannya sejak pukul 12 tengah hari khusus untuk meneliti rayuan Muthuppalaniappan.

Muthuppalaniappan mengemukakan rayuannya pagi semalam.

REAKSI SETIAUSAHA AGUNG

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam ketika ditemui memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi keputusan CWC kepada Muthuppalaniappan minggu depan.

"Dengan keputusan ini, beliau mempunyai segala hak sebagai ahli MIC, sebagaimana dinyatakan dalam perlembagaan parti," katanya.

Mesyuarat cawangan MIC akan berlangsung bulan depan dan disusuli dengan persidangan perwakilan bulan Mac.

November lalu, Muthuppalaniappan mengumumkan hasrat untuk mencabar Samy Vellu, Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu.

Jawatankuasa Disiplin mengumumkan keputusan memecat Muthuppalaniappan menerusi surat bertarikh 21 Januari lalu.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan