Polis: Jangan politikkan upacara pengebumian Kugan

Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin menghadiri upacara pengebumian A. Kugan yang dijadualkan pada Rabu ini, diberi amaran supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan haram, membawa sepanduk dan poster atau mengadakan sebarang perarakan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, upacara pengebumian tidak sepatutnya dipolitikkan atau bertukar menjadi demonstrasi haram memandangkan tindakan itu mengganggu ketenteraman yang mungkin mengakibatkan huru-hara.

Khalid berkata mayat Kugan dijangka dikebumikan di sebuah tanah perkuburan yang tidak dinyatakan di Selangor.

Bagaimanapun, dipercayai terdapat rancangan beberapa kumpulan tertentu, orang yang bersimpati dan anggota keluarga untuk menjadikan upacara berkenaan sebagai perhimpunan haram bagi membantah terhadap dakwaan berlakunya keganasan polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata polis mendapat maklumat bahawa upacara pengebumian itu akan dimulai dengan perarakan yang akan melalui beberapa kawasan tertentu di bandar raya sebelum tiba di tanah perkuburan.

"Kad dan sepanduk juga dijangka dibawa oleh peserta perarakan itu," katanya.

Sehubungan itu, Khalid menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram kerana polis tidak mempunyai halangan terhadap prosedur pengebumian biasa dan menghormati kesedihan yang dialami oleh keluarga mendiang.

"Bagaimanapun, polis tidak akan membiarkan percubaan oleh pihak tertentu untuk menjadikan upacara pengebumian ini sebagai perhimpunan haram yang mengancam ketenteraman awam.

"Saya telahpun memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kematian Kugan akan dikendalikan secara adil dan telus," katanya.

Kugan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati ketika ditahan dalam lokap di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Jan lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan