Najib nafi ada lagi wakil rakyat BN lompat Pakatan

Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat, kanan) dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (lima, kanan) menggaul yee sang ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini. Turut hadir ketua-ketua komponen Barisan Nasional (dari kiri) Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu; isteri Presiden MCA, Datin Seri Chooi Woke Chun; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan isteri, Datin Seri Wendy Ong
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat, kanan) dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (lima, kanan) menggaul yee sang ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini. Turut hadir ketua-ketua komponen Barisan Nasional (dari kiri) Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu; isteri Presiden MCA, Datin Seri Chooi Woke Chun; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan isteri, Datin Seri Wendy Ong

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.

"Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, di sini, hari ini yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti komponen BN, para diplomat asing serta pelancong asing.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota daripada BN, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Timbalan Presiden Umno itu menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai satu perkara yang tidak diduga dan berharap Nasaruddin akan dapat berfikir semasak-masaknya berhubung tindakannya menyertai PKR.

Katanya, beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan sebab-sebab itu.

"(Tindakan Nasaruddin sertai PKR) satu perkara yang kita (BN) tak duga. Tapi saya berharap Adun Bota ini dapat berfikir semasak-masaknya langkah yang dia telah buat," katanya.

Semalam, Nasaruddin mengumumkan beliau keluar daripada Umno dan menyertai PKR setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat PKR di sini yang turut dihadiri Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Sementara itu, Najib ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di sini, berharap semua wakil rakyat BN memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan parti terutama ketika dalam saat parti amat memerlukan sokongan dan kesetiaan mereka.

"Tidaklah wajar sekiranya ada apa-apa masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati, kita nak tinggalkan parti ataupun mengetepikan parti dalam saat parti memerlukan sokongan dan kesetiaan kita kepada parti dan perjuangan kita," katanya.

Beliau berkata, semua wakil rakyat mesti faham bahawa Umno dan BN secara keseluruhannya telah terlalu banyak menabur jasa pada rakyat dan negara.

Najib dijangka mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi BN Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini berhubung perkara itu.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa, terdapat sebilangan lagi wakil rakyat BN yang sedang menanti untuk menyertai mereka selepas Nasarudin berbuat demikian.

Nasarudin adalah wakil rakyat BN pertama yang menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Dengan penyertaan itu, Pakatan kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berkata: "Akan berlaku banyak lagi 'lompat parti' selepas ini, kita sedang berusaha ke arah itu."

Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli Ghazali berkata, beliau berharap Nasarudin akan memikirkan semula keputusannya itu.

Tajol Rosli juga menjemput Nasarudin untuk menyertai beliau dalam satu perjumpaan dengan Najib petang ini.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan