Pencabar Samy Vellu mahu rayu keputusan pemecatan

Diterbitkan: Ahad, 25 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden MIC Datuk M. Muthuppalaniappan, yang dipecat dari parti oleh Jawatankuasa Disiplin MIC semalam, akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

Katanya, majoriti pemimpin akar umbi parti itu telah menhubunginya sejak 24 jam lepas untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas imej parti.

Pada November lepas, Muthuppalaniappan mengumumkan akan mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu untuk jawatan Presiden MIC pada pemilihan presiden yang dijangka April atau Mei ini.

Katanya, jika MIC tidak melakukan perubahan drastik maka parti itu akan mengalami nasib malang dengan mengambil kira sokongan masyarakat India kepada parti itu merosot seperti terbukti pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Muthuppalaniapaan, 68, mengumumkan bahawa beliau telah menerima surat pemecatan itu yang ditandatangani oleh pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tan Sri G. Vadiveloo semalam selepas mesyuarat jawatankuasa itu pada hari sebelumnya.

Jawatankuasa Disiplin itu memberi tempoh 14 hari kepada bekas pengerusi MIC Negeri Sembilan itu untuk membuat rayuan kepada CWC.

"Vadiveloo telah menyatakan bahawa jawatankuasa itu akan memutuskan perkara itu dalam masa beberapa hari selepas kes itu didengar. Tetapi pada hari berikutnya, dia menandatangani surat pemecatan saya.

"Ini menunjukkan bahawa mereka semua dari mula lagi hanya mahu memecat saya. Mesyuarat itu semata-mata hanya kepura-puraan sahaja untuk mematuhi prosedur," katanya.

"Jawatankuasa itu dibawah telunjuk Samy Vellu. Dia semakin takut bahawa saya akan mencabar dan menang. Jika ia tidak benar, kenapa ambil tindakan untuk sesuatu yang saya tidak lakukan.

"Saya juga tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama," katanya.

Muthuppalaniappan mendakwa CWC parti itu akan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin itu kerana anggota CWC adalah pak turut Samy Vellu.

"Mereka boleh berkata banyak perkara di luar tetapi apabila bertemu Samy Vellu, mereka angguk kepala sahaja.

"Ini akan menjatuhkan parti... tidak ada pengawasan dan pemantauan dalam parti dan apa sahaja Samy Vellu katakan dianggap sebagai ayat suci," dakwanya.

Pemimpin veteran itu juga berkata, ramai penyokongnya dari cawangan dan bahagian kini bercadang untuk keluar parti dan menyertai pembangkang kerana mereka berasa Barisan Nasional (BN) membiarkan pemerintahan kuku besi dalam MIC.

"Saya akan menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada ahli MIC dan penyokong mengenai pendirian saya dan apa yang berlaku setakat ini.

"Saya tidak mahu mereka beralih ke pihak pembangkang kerana ia akan menjejaskan BN.

"Sudah tiba masa untuk BN melakukan sesuatu mengenai kepimpinan dalam MIC," kata Muthuppalaniappan.

Menurutnya, keputusan memecatnya akan turut menyukarkan masyarakat India untuk kembali memberi sokongan kepada BN menerusi MIC ketika BN memerlukan sokongan dari masyarakat itu.

"Salah satu sebab kenapa orang India meninggalkan BN pada pilihan raya umum lepas adalah kerana cara MIC dikendalikan.

"Ia menjadi parti eksklusif dan sesiapa yang membuat sedikit kritikan akan dipecat," katanya.

Samy Vellu, yang menerajui MIC sejak 1979, pernah berkata bahawa beliau akan mempertahankan jawatan presiden bagi penggal ke11 dan akan menyerahkan kepimpinannya kepada timbalannya selepas pemilihan jawatan lain parti pada perhimpunan agung parti yang dijadual September ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan