Pakatan Rakyat tumpu Pensiangan susulan Kuala Terengganu

Diterbitkan: Sabtu, 24 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Susulan kemenangan berturut-turut di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Pakatan Rakyat mengalih tumpuan ke Sabah dengan meminta penyokongnya agar bersedia untuk menghadapi cabaran dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Pensiangan.

"Gesaan saya kepada pimpinan akar umbi Sabah, bersiap sedia di (pilihan raya kecil) Pensiangan," kata Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognya hari ini.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Sabah dan Sarawak kini berada di Kota Kinabalu.

Pensiangan disebut-sebut bakal menyaksikan pilihan raya kecil dalam waktu terdekat.

Rayuan petisyen keputusan pilihan raya kecil kawasan itu dijadual didengar oleh Mahkamah Persekutuan pertengahan bulan depan.

Rayuan dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang nengisytiharkan kemenangannya tanpa bertanding bagi Parlimen Pensiangan sebagai tidak sah dan batal.

Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan 11 September lalu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan petisyen pilihan raya dikemukakan oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai.

Hakim David Wong Dak Wah yang membuat keputusan itu mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu sebagai tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada penamaan calon 24 Februari lalu, Pegawai Pilihan Raya, Bubudan Majalu mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.

Andipai dalam petisyennya mendakwa beliau tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.35 pagi dan membayar RM10,000 deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya.

Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu dan Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.

Parti komponen Pakatan Rakyat, PKR meletakkan Anwar di Permatang Pauh manakala PAS pula menurunkan Mohd. Abdul Wahid Endut di Kuala Terengganu.

Ia merupakan dua pilihan raya kecil selepas 8 Mac lalu.

Dalam blognya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, beliau telah sempat mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan gereja Sabah selain bersama peniaga Sabah di sebelah malam.

"Selaku Pengurusi Perhubungan Keadilan Negeri Sabah, saya menyediakan ruang waktu lumayan mendengar pandangan dan rintihan wakil-wakil bahagian sehingga 1 pagi dan kemudian disambung selama dua jam pagi tadi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan