Politik wang Umno: Calon MT serah diri di SPRM

Diterbitkan: Jumaat, 23 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno kanan peringkat pusat, yang dipercayai terlibat dalam politik wang dalam pemilihan parti, menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi semalam.

Beliau merupakan orang yang ke-13 ditahan oleh SPRM berhubung politik wang, yang hangat diperkatakan menjelang pemilihan parti itu.

Pagi semalam, tiga orang didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Kuala Lumpur dan Alor Gajah berhubung tuduhan memberi wang untuk mendapatkan sokongan ketika pemilihan bahagian tahun lalu.

Pemimpin dari Wilayah Persekutuan itu ditahan selepas beliau menyerah diri kepada SPRM di Temerloh, Pahang.

Beliau yang berusia lewat 40-an disoal siasat beberapa jam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin berhubung dakwaan bahawa telah membuat bayaran kepada beberapa orang untuk tujuan meraih sokongan menjelang pemilihan pusat Mac ini.

Sumber-sumber memberitahu, beliau yang telah layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) membayar antara RM300 dan RM500 setiap perwakilan.

Tiga orang yang didakwa pagi semalam termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Azman Noh, 42 di Ipoh dan seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Junaidi Abdul Hamid, 46 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang lagi adalah Ketua Umno cawangan Kampung Panchor yang juga seorang kontraktor, Johari Ibrahim, 46, didakwa di Melaka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan