KDN siasat Herald Catholic masih guna perkataaan 'Allah"

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat dakwaan akhbar mingguan The Herald Catholic Weekly masih menggunakan perkataan "Allah" meskipun keputusan kerajaan tidak membenarkan perkataan itu digunakan dalam akhbar itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Alhar berkata, larangan penggunaan perkataan "Allah" itu bukan keputusan kementeriannya tetapi adalah keputusan kerajaan dan jika benar akhbar berkenaan masih menggunakan perkataan itu, ia seolah-olah sengaja ingin mewujudkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.

"Kes itu masih belum diputuskan di mahkamah, seharusnya dia tunggu dulu keputusan, jangan dia ingat dia sahaja yang kuat dan berhak sedangkan orang lain tidak berhak.

"Kita sudah cukup bertoleransi dengan agama lain, apabila kita ambil tindakan mengharamkan akhbar itu nanti marah pula dan kata seolah-olah kita tidak beri kebebasan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Ketua Paderi Kuala Lumpur untuk memohon bagi semakan penghakiman terhadap keputusan KDN yang melarang penggunaan perkataan "Allah" bagi merujuk kepada "God" dalam seksyen bahasa Melayu akhbar rasmi Gereja Katolik Malaysia, Herald The Catholic.

"Isu-isu agama sangat sensitif dan sebab itu saya mengelak untuk berdebat mengenainya... bagi saya, adalah baik kita selesaikannya dalam suasana yang bukan konfrontasi," katanya.

Mengenai blog yang menghina Nabi Muhammad S.A.W, Syed Hamid berkata, perkara itu sudah disiasat oleh pihak polis dan hasil siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara.

"Sekarang terpulang kepada pihak Peguam Negara untuk melihat sama ada cukup bukti bagi membolehkan pendakwaan dilakukan," katanya.

Syed Hamid berkata, dalam kepesatan alam siber hari ini amat sukar bagi pihak berkuasa membendung penyebaran maklumat daripada internet kerana adakalanya maklumat bertujuan menghina mana-mana kaum dan agama disalurkan pembekal perkhidmatan dari luar negara.

Mengulas mengenai laporan ramai pekerja asing diberhentikan akibat kemelut ekonomi yang kemungkinan akan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini, beliau berkata memang sepatutnya majikan menggunakan pekerja tempatan.

"Mereka (pekerja asing) yang diberhentikan itu perlu dihantar balik dan kemudian jangan lagi ambil pekerja asing sebaliknya gunakan tenaga kerja tempatan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan