Amaran Najib: Sedia terima hukuman rakyat jika BN tidak bangkit

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melihat buku Politik Baru karya Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) selepas majlis pelancarannya di Putrajaya hari ini.
-fotoBERNAMA
DATUK Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melihat buku Politik Baru karya Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) selepas majlis pelancarannya di Putrajaya hari ini. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Empat hari selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Kuala Terengganu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memberi amaran bahawa pemimpin-pemimpin BN tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri menekankan, mereka perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat.

Justeru, Najib mahukan semua pemimpin kerajaan BN bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan baik kepada diri mahukan kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya ia sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.

"Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukumannya dalam pilihan raya umum ke-13 kelak," kata beliau ketika melancarkan buku Politik Baru karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, di sini.

Buku setebal 178 muka surat dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris itu menyentuh mengenai integriti politik dan kerangka pemerintahan baru.

Dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Pada 8 Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Ia merupakan kekalahan kedua bagi BN dalam pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

KESINAMBUNGAN

Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan kerajaan BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala tiada berkesinambungan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Kata beliau, kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan.

"Ini kerana kita insaf di dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan," kata Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Beliau berkata, demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan BN memerlukan pemimpin berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.

PEMIKIRAN GLOKAL

Pemimpin itu, katanya, mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya dan akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.

"Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan "result".

"Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!" katanya.

Najib berkata gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.

Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia, katanya.

Malah, ucapan Barack Obama semasa kempen Presiden Amerika Syarikat sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia, bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka, katanya.

"Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat," katanya.

Akses kepada lebuh raya maklumat dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat dan ia memberi dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan rakyat Malaysia sebagai pengundi.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan