Kerajaan perlu henti beli senjata AS - Dr. M

Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu berhenti membeli senjata keluaran Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memboikot barangan negara itu yang selama ini bersekutu menyokong Israel melakukan kekejaman keatas rakyat Palestin di Gaza.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tindakan sedemikian boleh memberi amaran yang jelas kepada AS mengenai pendirian rakyat Malaysia yang mengutuk tindakan kejam rejim Zionis itu.

"Mungkin kalau kita boikot untuk tidak membeli minuman Coke, ia tidak akan mengubah polisi AS, tapi kalau kita boikot dan berhenti daripada membeli senjata keluaran AS, mereka akan hadapi tekanannya," katanya sewaktu berucap merasmikan program Kempen Selamatkan Rakyat

Palestin anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia Menentang Penindasan Rakyat Palestin di sini hari ini.

Menurut beliau pembelian paling besar dan secara terus ialah daripada kerajaan sendiri.

"Kerajaan sekarang ini saya fikir mempunyai rancangan untuk membeli pesawat terbaru, dan kalau mereka membeli daripada AS, secara tidak langsung kita bekalkan wang kepada AS untuk keluarkan senjata dan kemudiannya bekalkan kepada Israel supaya membunuh rakyat Palestin.

"Jadi secara langsung kita tak boleh beli apa yang kita tahu untungkan AS," katanya.

Malah bekas Perdana Menteri itu berkata kerajaan sekarang ini akan kalah dalam pilihan raya akan datang jika terus membeli barangan keluaran AS.

"Jika mereka (kerajaan) teruskan membeli barangan AS, mereka sepatutnya kalah dalam pilihan raya depan.

"Kita sepatutnya tidak menyokong kerajaan yang sedia membantu AS mengeluarkan senjata untuk Israel," katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha sedemikian tidak akan berhasil jika hanya Malaysia melaksanakannya tanpa disokong oleh negara-negara lain.

Dalam sidang media selepas itu, beliau sekali lagi menegaskan pendapatnya sebelum ini bahawa bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang akan menggantikan George W. Bush tidak lama lagi dijangka tidak akan membawa perubahan terhadap Israel.

"Saya berpendapat bahawa Obama berjanji untuk adakan perubahan tapi perubahan itu lebih kepada perkara-perkara lain seperti ekonomi dan mungkin akan menarik balik tenteranya daripada Iraq dan Afganistan atau mengurangkan jumlahnya.

"Tapi (perubahan) tak berkenaan dengan Israel," katanya.

Menurutnya beliau percaya Obama akan meneruskan pendirian yang diamalkan AS selama ini kerana beliau terhutang budi kepada masyarakat Yahudi di AS.

"Tanpa sokongan mereka (Yahudi), dia tak mungkin jadi Presidenn," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan