Solat hajat dan demonstrasi aman Palestin seluruh negara

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia hari ini terus mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, dan di sesetengah masjid turut diadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam Palestin yang diancam dan dianaiya oleh rejim Zionis Israel.

Selain berdoa untuk keselamatan warga Palestin, umat Islam turut menderma kepada tabung bantuan Palestin dan mengadakan demonstrasi secara aman.

Di MELAKA, lebih 2,000 umat Islam berhimpun di perkarangan Masjid Negeri AlAzim di sini selepas solat Jumaat bagi menunjukkan bantahan mereka ke atas kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Mereka turut memegang kain rentang yang tertera perkataan mengutuk kekejaman Israel serta memboikot produk keluaran rejim itu dan Amerika Syarikat (As) .

Sementara di Kolej Yayasan Melaya (KYM), seramai 800 pelajar dan kakitangan kolej itu turut mengadakan perhimpunan yang sama, berserta tayangan video yang memaparkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin terutama wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Kolej itu juga turut melancarkan tabung untuk membantu rakyat Palestin yang akan berlangsung sehingga 29 Januari ini.

Di PULAU PINANG, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Selatan turut mengadakan perhimpunan secara aman selepas solat Jumaat di Padang Awam Jawi sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Yang Dipertuanya, Hasruldani Husain berkata perhimpunan itu turut disertai beberapa pertubuhan lain termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata semua 200 masjid di negeri itu digalakkan mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah pada setiap Jumaat bagi memohon doa agar penduduk Palestin dilindungi Allah daripada kekejaman Zionis.

"MAIPP juga telah mengedarkan teks khutbah berkaitan Palestin kepada semua masjid dan jika ada masjid yang hendak meneruskan khutbah selepas ini berhubung isu ini, kita benarkan," katanya.

Beliau juga berkata MAIPP menetapkan semua masjid di negeri itu mengadakan kutipan derma untuk Palestin pada solat Jumaat 23 Januari ini.

Di SEREMBAN, khutbah Jumaat yang dibaca dengan penuh emosi oleh Ustaz Mohd Fadhil Wahab yang juga imam untuk solat Jumaat di Masjid Negeri hari ini menyebabkan beberapa jemaah mengalirkan air mata, dan ada pula yang melaungkan takbir "Allah Hu Akbar".

Khutbah itu antaranya meminta rakyat Malaysia, umat Islam khususnya supaya memboikot barangan AS dan Israel.

Sementara itu, di Masjid Datuk Klana Petra Sendeng di Jalan Jelebu pula, satu demontrasi secara aman dengan membawa sepanduk anti-Israel turut diadakan selepas solat Jumaat.

Di JOHOR, lebih 1,000 anggota Persatuan Malabar Muslim Johor mengadakan demonstrasi selama setengah jam selepas solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Wadi Hassan, di Johor Baru di sini hari ini.

Selain mengibarkan kain rentang dan poster mengutuk Israel, mereka juga mengedarkan risalah kekejaman tentera Zionis kepada orang ramai serta membakar bendera Israel dan AS dan patung Presiden George W. Bush.

Presiden persatuan itu, Abdullah Aziz Muhamad turut menyampaikan derma persatuan tersebut sebanyak RM40,000 kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

Di KANGAR, kesemua masjid dan surau di seluruh Perlis diarah mengadakan Qunut Nazilah selepas solat fardu lima waktu bagi mendoakan untuk mengembalikan keamanan di Gaza.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPS), Malik Hussin memberitahu, selain itu, kesemua 103 masjid diminta membuat kutipan untuk Tabung Bantuan Palestin, yang dilancarkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra pada Rabu lepas, selama tiga minggu atau tiga kali solat Jumaat.

"JAIPs juga menggalakkan jabatan dan pertubuhan sukarela untuk menyalurkan sumbangan melalui jabatan itu untuk dipanjangkan kepada JAKIM." katanya dan menambah antara yang membuat sumbangan ialah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebanyak RM1,010.

Di KUCHING, antara intipati khutbah yang disampaikan pada solat Jumaat hari ini menyentuh kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan meminta umat Islam di negeri ini bertindak membantu rakyat Palestin termasuk memboikot barangan atau perkhidmatan yang ada kaitan dengan Israel.

Sementara itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman ketika dihubungi berkata Tabung Kemanusiaan Gaza Palestin telah menerima sumbangan sejak Selasa lepas dan kerajaan negeri mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Di KELANTAN, lebih 500 masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri mengadakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah selepas solat Jumaat hari ini.

Persatuan Pelindung Persatuan Pengguna Kelantan (PPPK), Ahmad Othman, berkata pihaknnya telah meminta supaya aanggota persatuan di bawah gabungannya turut mengadakan solat hajat di tempat masingmasing.

Di PAHANG, lebih 500 masjid di negeri itu mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bagi keamanan di Palestin serta turut mendoakan kesejahteraan rakyat di negara daripada sebarang musibah. Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata selain itu pejabat Mufti Pahang akan menyiapkan teks khutbah solat Jumaat berkaitan dengan Palestin untuk disampaikan pada solat Jumaat oleh para imam di seluruh masjid di negeri itu pada 30 Januari ini.

Di KEDAH, kesemua 600 masjid seluruh negeri itu turut mengadakan solat hajat khusus untuk keselamatan rakyat Palestin selepas solat Jumaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, kerajaan negeri mengarahkan semua masjid supaya menganjurkan solat hajat selama dua Jumaat mulai hari ini.

Katanya, dalam solat hajat itu juga, semua imam diminta membaca doa Qunut Nazilah untuk memohon keseselamatan rakyat Palestin serta membuat kutipan derma untuk mengisi tabung Selamatkan Rakyat Palestin.

Di Alor Setar, Lebih 200 penjaja dan peniaga kecil pusat perniagaan Pekan Rabu di sini hari ini mengadakan demonstrasi membantah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Di KUALA TERENGGANU, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan 483 buah masjid di seluruh negeri itu mengadakan solat hajat serta kutipan derma untuk rakyat Palestin sejak Jumaat lepas.

Pesuruhjayanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya menjangkakan dapat mengutip lebih RM200,000 daripada orang ramai dalam tempoh dua minggu. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan