15,000 jawatan kosong di pameran kerjaya terbesar Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelembapan ekonomi tidak menghalang syarikat-syarikat gergasi menawar pekerjaan. Pameran kerjaya terbesar Malaysia, yang bermula pada hari ini di Pusat Pameran Mid Valley, menawarkan ribuan jawatan kosong di dalam pelbagai industri. Pameran yang berlangsung 3 hari ini, akan berakhir pada hujung minggu ini.

JobStreet.com MCTF'09, yang dianjurkan bersama oleh AIC Exhibitions Sdn Bhd dan laman web pencarian pekerjaan terbesar Malaysia, JobStreet.com, dijangka akan dikunjungi oleh seramai 100,000 graduan muda dan profesional.

Pameran tersebut mengambil ruang pameran seluas 45,000 kaki persegi dan disertai seramai 130 majikan. Ia dirasmikan oleh Datuk Thomas George, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

Turut diadakan selari dengan pameran kerjaya adalah Pameran Pasca Siswazah 2009 yang menawarkan lebih dari 6,000 kursus peringkat sarjana dan kedoktoran dari 70 universiti tempatan dan luar negara.

"Sokongan padu yang ditunjukkan oleh para majikan terhadap penyertaan di dalam pameran ini jelas menunjukkan walaupun perkembangan ekonomi agak perlahan syarikat-syarikat swasta masih mengambil pekerja.

Pameran kali ini juga adalah 20% lebih besar dari pameran yang sama tahun lalu" kata William Ng, pengarah urusan AIC yang juga pengerusi pameran tersebut. "JobStreet.com rasa amat bertuah kerana berpeluang membantu menawarkan pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pameran ini akan mengukuhkan lagi peranan kami sebagai peneraju laman lowongan kerja, serta memberi kami peluang untuk berinteraksi dengan ahliahli kami.

JobStreet turut mengendalikan seminar dan juga klinik 'resume' untuk membantu mereka yang mencari kerja", kata Eric Sito, pengurus besar JobStreet.com. Pengunjung pameran MCTF boleh memohon pekerjaan melalui SMS. Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pula akan mengadakan sesi temuduga di dalam pameran.

Di antara majikan yang menyertai pameran ini adalah British American Tobacco, Philip Morris, EDS IT Services, RBC Dexia dan Multimedia Development Corporation.

"Dengan banyak jawatan kosong yang ditawarkan di pameran nanti, ia akan membuka peluang kepada pencari pekerjaan untuk mendapatkan kerjaya impian mereka.

Sejak tahun pertama hingga kini,MCTF telah menjadi pameran kerjaya utama yang menjadi tumpuan para pencari pekerjaan. Kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan, jangan lupa untuk mengemaskinikan profil kerja anda, kerana ia akan membantu menjimatkan masa dan mencerahkan lagi peluang mereka untuk mendapat pekerjaan nanti",tambah William lagi.

Mengikut Datuk Thomas George, pasaran pekerjaan di Malaysia masih kukuh, walaupun ketika dunia dilanda krisis kewangan sekarang. "Walaupun terdapat kejadian dimana pemberhentian pekerja telah berlaku, tetapi ia masih di tahap yang terkawal", kata beliau.

"Sebenarnya, sebelum krisis kewangan sekarang, sektor swasta telahpun mengambil langkah untuk mengambil pekerja dengan lebih berhati-hati, supaya kos produksi terkawal dan tahap produktiviti pekerja terjamin. Jadi, ini bukan hal baru".

Beliau juga menyeru para majikan untuk menjadikan pemberhentian pekerja sebagai langkah terakhir. Tambah beliau, terdapat langkah-langkah lain yang boleh diambil seperti pembekuan pengambilan pekerja dan kerja lebih masa serta potongan gaji sebelum langkah pemberhentian pekerja dilakukan.

Pameran dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam, dari 16 hingga 18 Januari 2009 di Pusat Pameran Mid Valley. Masuk adalah percuma.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan