Imej Israel dan AS semakin rosak jika terus ceroboh Gaza

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, imej Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan semakin rosak di mata dunia jika Israel tidak menghentikan pencerobohannya di Semenanjung Gaza.

Najib berkata, pelbagai kaedah dan forum akan cuba dilaksanakan bagi mempengaruhi Israel untuk tidak meneruskan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin di Gaza melalui Sidang Khas Tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini di New York.

Bagaimanapun katanya, hanya kuasa besar seperti AS sebenarnya yang boleh menghentikan kekejaman itu daripada terus berlarutan yang kini telah pun mengorbankan kira-kira 900 nyawa.

"Kita sedar pada akhirnya kuasa besar seperti Amerika sebenarnya yang boleh menentukan sama ada rejim Tel Aviv akan mengubah sikap mereka tapi selagi mereka teruskan, selama itu pendapat dunia akan menyuarakan kekesalan mereka dan imej Isreal dan Amerika akan semakin rosak di kaca mata dunia," katanya.

PBB hari ini mengadakan Sidang Tergempar Khas di New York berikutan desakan Malaysia supaya badan itu mengadakan sesi tersebut bagi membincangkan kezaliman Israel di Gaza.

Berhubung harapan beliau kepada bakal Presiden AS, Barack Obama berhubung perubahan dasar luar Amerika mengenai isu Israel dan Palestin, Najib berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang kesimpulan memandangkan Obama masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu.

"Obama masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menunjukkan bahawa dasar mereka akan berubah terutama terhadap Israel dan masalah Palestin.

"Selagi itu, saya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan walaupun ramai yang kata, kita tidak boleh letak harapan yang besar kepada dasar luar AS terutama dalam konteks Israel dan masalah Palestin," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan