'Datuk Kabi' hadapi satu lagi tuduhan di Perak - Berita Semasa | mStar

'Datuk Kabi' hadapi satu lagi tuduhan di Perak

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap satu lagi pertuduhan di Perak dalam urusan jual beli kereta enam tahun lepas.

Kamaleshwaran Chitravelu, 29, dituduh menipu dan memperdayakan seorang pengarah syarikat swasta, G. Balasubramanyam untuk menyerahkan wang tunai secara berperingkat berjumlah RM4,500 sebagai wang pendahuluan untuk menjualkan sebuah Proton Perdana V6 dengan nombor pendaftaran PEQ 2359 dengan menyedari bahawa nombor pendaftaran itu didaftar pada sebuah Perodua Kancil.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di 19A, Lebuh Medan 5, Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada 26 hingga 29 April 2003.

Kamaleshwaran didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamed Ruhaizat Abdullah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula kes.

Awal bulan ini, tertuduh turut menghadapi beberapa pertuduhan di Pulau Pinang kerana kesalahan yang sama dan laporan media sebelum ini melaporkan bahawa Kamaleshwaran dipercayai terbabit dalam 25 kes penipuan di ibu negara, Selangor, Kedah, dan negeri lain. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan