Dakwa surat 'ganjaran' palsu diedar, TNC UM pula buat laporan polis

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris membuat laporan polis berhubung tuduhan beliau mengeluarkan surat menawarkan 'ganjaran' kepada seorang calon kumpulan pro-Mahasiswa yang bertanding dalam pilihan raya kampus universiti berkenaan.

Sambil menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu adalah satu fitnah, beliau mahu perkara itu disiasat mengikut undang-undang.

"Ini semua fitnah, saya sangkal sekeras-kerasnya tuduhan itu.

"Saya sudah buat laporan polis dan mahu pihak berkuasa menyiasat mengenai perkara seumpama ini," katanya kepada mStar Online.

Tuduhan sogokan yang kononnya bagi 'membeli' calon pro-Mahasiswa, Shah Rizul Ayuni Zulkiply dengan pelbagai ganjaran berserta wang tunai RM100 mula tersebar sewaktu proses penamaan calon pilihan raya kampus UM yang diadakan pagi semalam.

Malah calon yang mendakwa menerima tawaran itu turut membuat laporan polis pada malam kelmarin.

Salinan 'surat tawaran' dan laporan polis calon berkenaan turut diedarkan sewaktu sesi penamaan calon itu.

Menurut Dr. Azarae, beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh pegawainya kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

"Saya tahu setelah dimaklumkan oleh pegawai saya pagi tadi dan selepas meneliti surat berkenaan saya pasti ia tidak benar sama sekali," katanya yang berharap isu tidak diperbesarkan kerana ia turut melibatkan maruah universiti.

Jelas beliau, bukti yang menunjukkan bahawa surat berkenaan tidak benar ialah ia tidak menggunakan kepala surat pejabatnya serta penggunaan jenis dan kualiti kertas yang berbeza.

"Bukan itu sahaja, nombor rujukan yang digunakan itu juga bukan nombor rujukan pejabat TNC.

"Satu lagi yang tertinggal ialah perkataan 'Datuk' pada nama saya," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui tandatangan yang tertera pada surat itu serupa dengan tandatangannya.

"Dari segi bentuknya memang itu adalah tandatangan saya," katanya.

Dr. Azarae tidak menafikan kemungkinan tandatangan berkenaan diperolehi melalui teknik imbasan semula atau cetakkan semula pada tandatangannya sebelum ini.

Mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu, beliau berkata perkara sedemikian sudah biasa berlaku.

"Dalam musim pilihan raya kampus, tuduhan atau fitnah seperti ini biasa berlaku.

"Tahun lepas ada pihak-pihak tertentu yang melemparkan fitnah terhadap bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kononya berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan