Calon pro-Mahasiswa dakwa terima 'surat TNC' tawar ganjaran lompat parti

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEMANGAT... Sebahagian penyokong kumpulan pro-Mahasiswa berkumpul sambil membawa sepanduk dan poster pada proses penamaan calon hari ini.
SEMANGAT... Sebahagian penyokong kumpulan pro-Mahasiswa berkumpul sambil membawa sepanduk dan poster pada proses penamaan calon hari ini.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya hari ini mendakwa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti itu, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris telah mengeluarkan surat menawarkan 'ganjaran' kepada seorang calon kumpulan itu yang bertanding dalam pilihan raya kampus.

Pengerusi pro-Mahasiswa UM, Norazali Zainuddin berkata, Dr. Azarae ketika ditemui pihaknya pagi ini ada mengaku bahawa tandatangan pada surat berkenaan serupa dengan tandatangan beliau.

Beliau bersama tiga lagi rakannya telah mengadakan pertemuan dengan Dr. Azarae bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kesahihan surat berkenaan.

Pertemuan itu diadakan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi di pejabat TNC.

"Dr. Azarae mengakui tantatangan yang ada pada surat itu sama seperti tandatangannya.

"Bagaimanapun beliau menafikan kebenaran surat itu dan tidak mengaku mengeluarkan surat sogokan itu," katanya ketika ditemui pada proses penamaan calon universiti berkenaan di sini hari ini.

Tambah Norazali, Dr. Azarae memaklumkan kepada mereka bahawa beliau sedia disiasat oleh pihak polis berhubung dakwaan itu.

Pilihan raya kampus UM akan diadakan pada 19 Januari ini. Penamaan calon adalah hari ini.

Bagaimanapun Dr. Azarae yang dihubungi enggan mengulas dakwaan berkenaan.

Calon pro-Mahasiswa berkenaan, Shah Rizul Ayuni Zulkiply membuat laporan polis kerana mendakwa beliau cuba 'dibeli' dan ditawarkan untuk bertanding di kerusi umum mewakili kumpulan pro-Aspirasi yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa.

Beliau membuat aduan di Balai Polis Brickfield pukul 8.56 malam semalam.

Dalam laporan polis itu, Shah Rizul menyatakan beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pelajar yang tidak dikenali memaklumkan beliau ada menerima sepucuk surat yang perlu diambil di pejabat kolej kediamannya, Kolej Keempat.

Beliau juga mendakwa surat yang bertarikh 9 Januari itu turut menyertakan wang tunai RM100 sebagai saguhati permulaan atas tawaran tersebut.

Shah Rizul juga dimaklumkan melalui surat berkenaan bahawa pihak universiti akan menaggung segala perbelanjaan keperluan sepanjang tempoh pilhan raya ini termasuk makanan dan penginapannya.

Malah beliau turut dijanjikan jaminan keselamatan.

Menurut Shah Rizul dalam laporan polisnya, tawaran wang saguhati itu sangat memalukan dirinya malah membuktikan bahawa terdapat pihak tertentu yang sanggup menggunakan wang untuk 'membeli' mana-mana mahasiswa untuk kepentingan sendiri.

BERITA TERDAHULU

Hari penamaan calon pemilihan kampus UM tegang, polis ditempatkan

PETALING JAYA: Kehangatan pilihan raya bukan sahaja dirasai di Terengganu, malah menarik tumpuan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) hari ini - hari penamaan calon dengan anggota polis terpaksa dipanggil untuk mengawal keadaan.

mStar Online difahamkan ini kali pertama anggota pasukan keselamatan ditempatkan pada pilihan raya kampus UM.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus UM pagi tadi gamat dengan kehadiran penyokong kumpulan pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa dengan sorakan dan perang lidah menghangatkan suasana sekitar pusat penamaan calon yang diadakan di Kompleks Perdana Siswa.

Himpunan penyokong kedua-dua pihak yang berada di antara bangunan Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Kompleks Perdana Siswa itu turut dikawal oleh kira-kira 10 anggota polis bersama pasukan keselamatan UM dan juga sebilangan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku.

Jumlah penyokong yang sama banyak iaitu kira-kira 150 orang bagi setiap kumpulan dibezakan dengan kumpulan pro-mahasiswa berpakaian serba oren manakala penyokong pro-aspirasi tampil dengan serba hitam.

Mulai penggal ini kumpulan pro-aspirasi dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa.

Pada pilihan raya kampus penggal ini, yang akan berlangsung 19 Januari ini, 41 kerusi dipertandingkan iaitu sembilan bagi kerusi umum dan 32 bagi kerusi fakulti.

Menerusi pemilihan penggal lalu, kumpulan pro-mahasiswa berjaya memenangi 11 kerusi.

Dengan menggunakan tema "Hope and Change", kumpulan pro-Mahasiswa ingin menafikan majoriti dua pertiga kumpulan Penggerak Mahasiswa yang telah mengusai Um selama 5 penggal berturut-turut.

BERITA TERDAHULU

Pilihan raya kampus UM mula hari ini, peluang proaspirasi tipis

PETALING JAYA: Peluang calon wakil proaspirasi dalam pilihan raya kampus di Universiti Malaya (UM) untuk mempertahankan penguasaan majoriti seperti penggal lalu dijangka tipis ekoran kebangkitan kumpulan promahasiswa untuk mengusai gelanggang.

Salah seorang mantan exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM yang enggan dikenali berkata, situasi sedemikian berlaku terutamanya selepas pembangkang menguasai Selangor pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

"Saya akui kebangkitan calon-calon promahasiswa pada pemilihan kali ini adalah kesan daripada pilihan raya umum yang lepas," katanya.

Pilihan raya kampus bagi UM akan diadakan 19 Januari ini.

Pada pemilihan kali ini UM mempertandingkan 41 kerusi iaitu 9 daripadanya ialah kerusi umum dan 32 merupakan kerusi fakulti.

Menurut sumber itu lagi, kedua-dua wakil sama ada pro-mahasiswa mahupun pro-aspirasi akan menampilkan calon pilihan yang berwibawa pada proses penamaan calon yang akan diadakan esok bermula pada pukul 9.30 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari.

"Pemilihan kali kali ini agak berbeza dan lebih 'panas' berbanding pada penggal lalu.

"Kedua-dua pihak sudah pasti akan menampilkan calon popular dan berwibawa untuk menambat hati pengundi," katanya yang mengikuti rapat perkembangan kedua-dua pihak.

Menerusi pemilihan pada penggal lalu, promahasiswa telah mengusai 11 kerusi manakala kumpulan pro-aspirasi berjaya mengekalkan penguasaan mereka selama lima tahun berturut-turut.

Bagaimanapun tambah beliau, peluang bagi kumpulan pro-aspirasi untuk menang pada pilihan raya kali ini masih ada namun harus diakui agak sukar.

"Saya jangkakan proaspirasi masih boleh menang tapi mereka perlu bekerja lebih keras tanpa nafikan kekuatan pihak lawan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan