Sidang Khas Parlimen 8 jam sepakat kutuk serangan Israel

Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Persidangan Khas Parlimen mengenai Gaza di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Persidangan Khas Parlimen mengenai Gaza di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

[DIKEMAS KINI, 11 MALAM] KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen semalam secara sebulat suara - kedua-dua anggota kerajaan dan pembangkang mengambil ketetapan bersama mengutuk kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza, yang setakat ini telah meragut kira-kira 800 nyawa.

Dewan Rakyat yang bersidang selama kira-kira lapan jam bermula pukul 2.30 petang tadi bersetuju menerima 10 usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang antara lain mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel itu.

Selepas Dewan Rakyat ditangguhkan, Abdullah turut menyerahkan resolusi Parlimen Malaysia mengenai konflik kemanusiaan di Genting Gaza kepada Duta Palestin di Malaysia, Abdel Aziz Abou Ghosh.

Menerusi sidang khas hari ini, ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi menyuarakan pandangan dan cadangan yang wajar diambil oleh kerajaan Malaysia bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Palestin.

Dalam ucapan penggulungan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amat wajar bagi kerajaan Malaysia berada di barisan hadapan bagi mengatur tekanan masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel tunduk kepada undang-undang antarabangsa.

"Inilah suatu penyatuan yang amat penting dan amat dihargai oleh rakyat Malaysia yang turut menyaksikan dan merasakan penderitaan di Gaza," katanya.

Tambah beliau, tindakan Israel yang memerangi Palestin bukan tatacara yang diterima oleh masyarakat dunia yang bertamadun.

"Dunia mengetahui bahawa Israel dibantu oleh kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dari sudut kewangan, senjata dan politik antarabangsa.

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat resolusi 1860/09.

"Tetapi resolusi itu tidak bermakna lantaran AS memberi isyarat bahawa mereka berkecuali," katanya.

Jelasnya lagi, tindakan AS itu bermakna tentera Israel dibenarkan terus menerus melakukan kekejaman.

Rais juga berkata, dalam konteks ini, AS patut dikutuk bersama kerana menghalalkan pembunuhan yang dilakukan rejim ISrael ke atas rakyat Palestin.

Sementara itu, Abdel Aziz Abou Ghosh ketika ditemui berkata, beliau menyambut baik resolusi kerajaan Malaysia yang begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat Palestin di Gaza.

Beliau berharap tindakan tegas kerajaan Malaysia ini dapat membantu menyelesaikan konflik berkenaan.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sangat prihatin menyuarakan bantahan dan keprihatinan tentang apa yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

"Saya juga berharap kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel dapat dihentikan dengan segera kerana semakin hari semakin ramai nyawa yang tidak berdosa terancam," katanya.

BERITA TERDAHULU

Sidang Khas: PM usul 10 ketetapan bela rakyat Palestin

[DIKEMAS KINI 3.45 PETANG] KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengusulkan 10 ketetapan pada sidang khas Parlimen mengenai Gaza bagi membela nasib rakyat Palestin yang kini menderita akibat serangan rejim Israel ke atas mereka.

Berikut adalah 10 ketetapan yang diusulkan:

1. Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak- kanak, termasuk bayi dan warga tua,dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;

2. Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut;

3. Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung PBB – “Uniting For Peace” -di bawah Resolusi 377a(v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009.

4. Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel;

5. Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di timur tengah sekarang;

6. Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

7. Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu-padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;

8. Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta merta;

9. Menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin untuk menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan

10. Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua dewan perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

[BERITA TERDAHULU]

KUALA LUMPUR: Sidang khas Parlimen mengenai Gaza telah bermula kira-kira pukul 2.30 petang tadi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini sedang menyampaikan ucapan perbahasan.

Lobi Parlimen telah mula dipenuhi dengan kehadiran ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang sejak pukul 2 petang bagi mengikuti sidang khas yang diadakan bagi mengutuk serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 700 nyawa.

Selain itu, sebilangan Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi luar negara di Malaysia juga turut hadir untuk mengikuti sidang khas Parlimen ini.

Wakil-wakil media tempatan dan luar negara juga telah mula berada di bangunan Parlimen sejak pukul 1.30 petang.

Sidang khas ini telah diusulkan oleh Abdullah kepada Parlimen pada 7 Januari lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3).

Ucapan Abdullah pada sidang khas ini akan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen akan turut membuat ucapannya dan seterusnya Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim akan membuat penggulungan di akhir persidangan.

Pagi tadi, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah mengadakan mesyuarat pra-majlis bagi membincangkan persiapan mereka sebelum menyertai sesi perbahasan tersebut

"Kita akan bincangkan mengenai persiapan sebelum sidang khas diadakan petang ini," katanya Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika dihubungi mStar Online.

Sidang tersebut adalah lanjutan daripada inisiatif lain Kuala Lumpur untuk menghentikan kekejaman berlanjutan oleh rejim Tel Aviv, yang sejak 27 Dis menyerang penduduk Palestin serta pelbagai kemudahan di wilayah itu dan sekaligus mengancam nyawa 1.5 juta penduduknya.

Sidang khas ini juga penting untuk mencorakkan inisiatif selanjutnya dari Malaysia berikutan penolakan Israel terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang mengundi "menuntut diadakan gencatan senjata segera, berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh tentera Israel dari Gaza".

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan