Ungku Aziz tidak hadir persidangan, menteri nafi penyelewengan

Diterbitkan: Sabtu, 10 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) hari ini mengadakan persidangan kebangsaan tahunannya ke-25 tanpa kehadiran bekas Yang Dipertuanya (YDP), Profesor Diraja Ungku Aziz, pertama kali dalam sejarah penubuhannya sambil menteri berkaitan, Datuk Noh Omar menafikan wujud penyelewengan dalam badan koperasi itu seperti yang didakwa Ungku Aziz.

Noh yang merupakan Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi berkata, Suruhan Koperasi Malaysia (SKM) telah menyiasat dakwaan itu dan mendapati tidak timbul soal penyelewengan wang dalam Angkasa sebaliknya apa yang berlaku adalah krisis kepimpinan.

"Bila saya teliti, saya lihat yang berlaku adalah krisis kepimpinan. Dakwaan bahawa berlaku penyelewengan tidak timbul kerana aktiviti penting Angkasa iaitu potongan gaji yang melibatkan RM20 juta sehari tiada masalah dan berjalan seperti biasa.

"Selain itu, kita juga tidak menerima sebarang aduan (berhubung penyelewengan) daripada ahli dan badan-badan koperasi, sebaliknya yang mengadu adalah dari segi dalaman (Angkasa) yang mana wujud krisis kepimpinan," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-25 di sini, hari ini.

Rabu lalu, Ungku Aziz meletakkan jawatannya sebagai YDP Angkasa selepas menerajui badan koperasi itu selama 37 tahun kerana dikatakan kecewa berhubung siasatan penyelewengan wang dalam Angkasa yang gagal diselesaikan.

Noh berkata, krisis kepimpinan tersebut timbul apabila dua team (kumpulan) dalam Angkasa.

"Kedua-dua kumpulan ini saling mengakui mereka lebih kuat berbanding yang satu lagi, maka dari sinilah timbulnya isu penyelewengan yang mengatakan team A kata team B tidak betul dan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, disebabkan hal itu, berlaku pergolakan dalam kepimpinan Angkasa yang membawa kepada pemecatan Ungku Aziz pada 24 Mac tahun lalu melalui undi tidak percaya.

Dalam kes itu, Ungku Aziz mendapat sembilan undi tidak percaya daripada kalangan 14 ahli lembaga pengarah Angkasa.

Pemecatan itu bertahan selama 43 hari sebelum SKM memerintahkan Jawatankuasa Tertinggi Angkasa mengekalkan jawatan Ungku Aziz yang juga pengasas badan koperasi itu.

Usaha pemecatan itu dipercayai ada hubung kait dengan arahan Ungku Aziz supaya siasatan dijalankan terhadap dua ahli lembaga pengarah kanan badan itu yang didakwa melakukan penyelewengan.

Noh berkata, Ungku Aziz sepatutnya boleh melakukan penyiasatan dalaman selepas SKM mendapati memang tidak wujud penyelewengan seperti yang didakwa.

"Sepatutnya Ungku Aziz boleh buat siasatan dalaman bila beliau menjawat semula jawatan Yang Dipertua itu memandangkan laporan penyiasatan kita menunjukkan tiada penyelewengan.

"Kita dah nampak ini bukan isu penyelewengan. Ini adalah isu kepimpinan yang jelas melibatkan pecat-memecat, undi tidak percaya dan kewujudan dua team ini," katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kewujudan dua team ini, beliau telah mengarahkan pemilihan dijalankan bagi semua jawatan pada persidangan kali ini berbanding hanya satu pertiga jawatan yang dipertandingkan sebelum ini.

Jawatan yang dipertandingkan adalah Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Pengerusi Persidangan.

Noh berkata, beliau berharap, dengan pemilihan kepimpinan yang akan ditentukan oleh lebih 3,000 perwakilan hari ini akan menyatukan semua ahli-ahli Angkasa tanpa wujud lagi istilah team ini.

"Selain itu, di bawah pengurusan baru ini nanti, jika mereka dapati benar-benar wujud penyelewengan, jika diperlukan, kita (SKM) akan menyiasat dan ambil tindakan.

"Bagaimanapun, saya amat yakin, Angkasa mampu menyelesaikan masalah dalamannya sendiri. Kalau tidak boleh juga, baru kita campur tangan," katanya.

Sementara itu, Pemangku YDP Angkasa, Prof. Dr. Mohd Ali Baharom dalam ucapan alu-aluannya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Angkasa semalam telah bersetuju untuk mengusulkan supaya Ungku Aziz dilantik sebagai Penasihat Angkasa memandangkan sumbangan beliau yang begitu besar kepada badan koperasi itu.

Katanya, perkara itu akan dikemukakan kepada jawatankuasa tertinggi yang baru selepas ini.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan