Kerajaan jamin kontraktor kelas F tidak terjejas

Diterbitkan: Sabtu, 10 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa nasib kontraktor kelas F di seluruh negara akan terus terbela walaupun Malaysia menerima tempias krisis ekonomi dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata menerusi pakej rangsangan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM900 juta tahun ini, kerajaan mewujudkan projek-projek untuk kontraktor kelas F di seluruh negara.

"Kita akan pastikan negara tidak turut terjerumus dalam kemelesetan ekonomi sepertimana yang dialami kebanyakan negara termasuk di Eropah. Kita nak ada juga pertumbuhan, walaupun tak tinggi, kerana krisis yang dialami ini, kita nak sekurang-kurangnya ada pertumbuhan di negara kita," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran pengundian Projek Kecil Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) Daerah Kuala Terengganu Tahun 2009 di Wisma Darul Iman, di sini, Sabtu.

Najib berkata peruntukan RM900 juta itu merupakan peningkatan berbanding RM600 juta peruntukan yang diberikan kerajaan tahun lalu.

Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan RM7 bilion pada 4 Nov tahun lepas untuk membantu menangani kelembapan ekonomi global.

Najib baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa beliau tidak menolak untuk menyediakan satu lagi pelan pakej rangsangan fiskal bagi negara sekiranya ekonomi semakin buruk pada 2009.

Beliau berkata kerajaan membuat pertimbangan 'menongkah arus', ketika ramai yang terpaksa menganggur di negara-negara maju termasuk di Amerika Syarikat sehingga rakyat perlu berbaris untuk mendapatkan makanan percuma, bagi membolehkan ekonomi negara bertahan.

Malah, katanya, kerajaan masih lagi mampu mengeluarkan peruntukan untuk pembangunan dan jumlahnya juga semakin bertambah berbanding tahun lalu.

"Di Malaysia, kontraktor kelas F paling ramai dan paling istimewa. Apa yang dilakukan kerajaan membuktikan mereka ini mendapat pembelaan daripada kerajaan.

"Inilah kerajaan Barisan Nasional (BN). Bila BN kalahpun kontraktor masih juga dapat projek. Wang ihsan yang kita beri pun ada bahagian untuk kontraktor kelas F," katanya dalam nada berseloroh.

Untuk tahun lepas sahaja, katanya, kerajaan membelanjakan RM4.7 bilion untuk 90,000 projek kepada 85,000 kontraktor kelas F seluruh negara.

Bagi kontraktor di Kuala Terengganu pula, kerajaan memperuntuk RM15.8 juta projek PIA dan PIAS kepada 583 kontraktor kelas itu, dengan projek bernilai dari RM30,000 hingga RM200,000, katanya.

"Bagi kontraktor yang mendapat projek kecil kali ini, kita akan pertimbangkan projek lebih besar untuk fasa seterusnya.

"Melalui cara ini kita dapat pastikan rakyat mendapat faedah, kontraktor pula dapat terus cari makan, dan dalam masa yang sama ekonomi terus berkembang.

Najib berkata pengagihan projek juga dilaksanakan menerusi undian berkomputer, cara paling telus dengan adanya perisian komputer yang dibangunkan anak Terengganu sendiri.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tan Sri Khalid Ramli.

Pada majlis itu, seramai 583 kontraktor kelas F yang hadir tidak pulang tangan kosong dan mendapat projek PIA dan PIAS yang dilakukan secara undian berkomputer. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan