Malaysia tidak puas hati resolusi PBB, kata Rais

Diterbitkan: Jumaat, 9 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berpuas hati dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) yang menuntut dilaksanakan gencatan senjata secara "segera dan berpanjangan" di Semenanjung Gaza, yang seterusnya membawa kepada "pengunduran seluruh" askar Israel dari wilayah Palestin itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini adalah kerana resolusi yang diluluskan 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan itu hanya menjurus kepada menghentikan kekerasan atau serangan, dan tidak menyebut tentang bantuan kemanusiaan.

Malah ia juga tidak menyebut secara jelas pengunduran seratus peratus serta pelarasan pasukan pengaman antarabangsa, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyampaian cek kepada Yayasan Jenayah Perang Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada majlis itu pengerusi yayasan, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cek bernilai RM3.5 juta daripada Yayasan Albukhary dan RM100,000 daripada Lembaga Tabung Haji.

Rais berkata resolusi Majlis Keselamatan itu dilihat hanya setakat melepaskan batuk di tangga walaupun 14 anggota mengundi kecuali Amerika Syarikat.

Selain itu, banyak impak yang boleh dilihat melalui resolusi itu antaranya ialah banyak negara tidak lagi segan pada Amerika ketika hendak mengundi meluluskan satu-satu resolusi.

Rais berkata walaupun Rusia, Perancis dan China menyokong resolusi itu, tetapi keputusan itu masih tidak mencukupi untuk mengisi aspirasi dunia yang mahukan lebih daripada itu.

"Jadi kita akan cuba sedaya upaya menggerakkan suara dunia ke arah satu resolusi atau beberapa keputusan lagi yang menyentuh tentang hak asasi Gaza misalnya dan juga mengenai ganti rugi," katanya.

Beliau berkata Sidang Parlimen Khas pada Isnin ini akan membuat satu pendirian Malaysia bagi menggerakkan 'perasaan' dunia berhubung konflik di Semenanjung Gaza.

Katanya Malaysia, yang sejak dulu mahukan Yahudi berundur dan meninggalkan Palestin, akan terus membantu Palestin daripada segi diplomasi antarabangsa untuk menuntut keamanan.

Pada Isnin, 14 anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi untuk menyokong resolusi 1860 iaitu "menuntut diadakan gencatan senjata segera, berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh askar Israel dari Gaza". Amerika Syarikat bagaimanapun mengambil pendirian berkecuali pada pengundian itu. Pada majlis sama, Dr Mahathir mencadangkan supaya Sidang Khas Parlimen mengemukakan resolusi kepada Perhimpunan Agung PBB bagi diwujudkan tribunal untuk membicarakan keskes jenayah perang di kalangan pemimpin Israel.

"Cadangan ini datang daripada seorang peguam hak asasi manusia di AS iaitu Francis Boyle yang meminta supaya negaranegara membuat resolusi melalui perhimpunan agung supaya ditubuhkan satu tribunal seperti tribunal membicarakan kes-kes yang melibatkan orang Serbia yang membunuh begitu ramai orang Bosnia.

"Soal melaksanakan kita tidak tahu tetapi kalau kita kemukakan pun ia adalah satu kejayaan, yang kedua kalau perhimpunan PBB bersetuju ini ialah satu langkah cukup tegas yang akan menakutkan pemimpin Israel kerana kalau mereka tidak dapat perlindungan daripada AS, mereka akan dihadapkan di mahkamah dan dipenjarakan," katanya.

Terdahulu, semasa berucap pada kempen "Boikot Terpilih Produk Yahudi" di Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini, Dr Mahathir menyarankan rakyat Malaysia supaya memboikot barangan syarikat Amerika dan Yahudi.

Kempen yang disertai kira-kira 1,000 orang turut disertai beberapa badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) dan Interactive Muslimah Association (IMAN).

Sementara itu, Ikatan Rakyat Muslim Insan Muslim Malaysia (IRIMM) menyerahkan memorandum mengecam pencerobohan rejim Israel di Palestin kepada wakil UNICEF di Malaysia, Youssouf Oomar di pejabatnya.

Demonstrasi secara aman yang disertai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Pewaris dan beberapa badan NGO turut diadakan di hadapan Wisma PBB di Jalan Dungun, Damansara.

Di Jalan Tun Razak, kira-kira 5,000 orang daripada 127 NGO dan parti politik berhimpun dan berarak bagi menghantar memorandum mengesa kerajaan Amerika mendesak kerajaan Israel menghentikan peperangan di Semenanjung Gaza.

Perhimpunan yang bermula pada pukul 2.30 petang di hadapan bangunan Tabung Haji di sini, kemudian berarak sambil membawa beberapa sepanduk dan bendera Palestin menuju ke kedutaan Amerika di sini bagi menyerahkan memorandum itu.

Perarakan yang berjalan secara aman itu dikawal ketat oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik bagi mengawal keadaan dan lalu lintas.

Beberapa ahli perhimpunan itu turut membakar bendera Israel dan turut membuat gantungan kasut sebagai tanda bantahan tindakan rejim zionis itu.

Perhimpunan yang disertai parti politik antaranya PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Yayasan Salam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) disuraikan secara aman pada pukul 3.20 petang.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan