"Datuk Kabi" hadapi tuduhan menipu kelapan di P.Pinang

Diterbitkan: Khamis, 8 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: C. Kamaleshwaran atau lebih dikenali sebagai "Datuk Kabi" menghadapi satu lagi pertuduhan menipu, menjadikan lapan kes kesemuanya di Pulau Pinang dalam tempoh seminggu ini.

Tertuduh, 29, yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth atas tuduhan menipu seorang lelaki di sebuah premis di Jalan Bagan Luar, di sini pada pertengahan Mac 2004.

Dia dituduh memperdaya lelaki berkenaan untuk menyerahkan sebuah kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran PFV 2694 kepadanya untuk dijual, yang mana lelaki berkenaan tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh, yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kemudiannya memohon dibicarakan.

Majistret Chiang Kian Hong kemudiannya menetapkan 11 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan membenarkan Kamaleshwaran diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Penolong Pendakwa Raya Siti Aishah Ramlan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh sebaik pertuduhan dan pengakuan Kamaleshwaran selesai dicatatkan oleh mahkamah memandangkan dia juga menghadapi beberapa pertuduhan di Mahkamah Majistret Balik Pulau dan Georgetown.

Bagaimanapun, tertuduh yang membuat rayuan sendiri kepada mahkamah berikutan kelewatan peguamnya hadir, memohon supaya dia dibenarkan diikat jamin dengan syarat tertentu yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Katanya, dia tidak akan melarikan diri dan bersedia untuk melapor diri di balai polis berdekatan menurut masa dan tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.

"Saya tidak akan melarikan diri dan saya telah menyerah diri di Bukit Aman sebelum ini atas nasihat peguam saya dan saya mohon satu jumlah jaminan yang munasabah memandangkan saya juga telah didakwa di beberapa mahkamah lain di Balik Pulau dan Georgetown,"katanya.

Beberapa hari lepas, tertuduh menghadapi tiga pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Balik Pulau dan empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown, yang kesemuanya akan disebut semula pada 10 Feb ini.

Esok, tertuduh dijangka dibawa ke Ipoh untuk menghadapi pertuduhan lain di sana. Tertuduh diwakili peguam S.Narasimhan dalam semua lapan kesnya di negeri ini.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan