Sidang kemuncak Asean diubah ke Hua Hin - Berita Semasa | mStar

Sidang kemuncak Asean diubah ke Hua Hin

Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Tuan rumah, Thailand mengubah tempat penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke14 dan sedang merancang mengadakannya di sebuah resort tepi pantai Hua Hin pada 27 Feb hingga 1 Mac manakala mesyuarat dengan rakan-rakan dialog Asean dijadual semula pada April.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata perubahan itu adalah wajar bagi memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak 10 negara anggota itu memandangkan wujud ancaman daripada penyokong anti kerajaan untuk menghalang acara yang pada asalnya diadakan di sini.

"Tidak akan ada berlaku perubahan tempat. Kami memilih Hua Hin kerana ia mempunyai persekitaran yang baik bagi mengadakan mesyuarat seumpamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat persediaan sidang kemuncak itu.

Abhisit berkata parti Democrat yang mengetuai gabungan kerajaan pimpinannya, yang baru memerintah bulan lepas selepas People's Power Party (PPP) dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan, memilih tempat di luar Bangkok bagi mengelakkan konfrontasi dengan penunjuk perasaan yang dinaungi Barisan Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD).

UDD, yang dikenali dengan penyokong memakai bajut berwarna merah dan dikaitkan dengan bekas perdana menteri digulingkan Thaksin Shinawatra, berikrar akan menghalang sidang kemuncak itu dan merancang untuk mengirim surat kepada sembilan negara anggota Asean lain, mendakwa Abhisit dipilih secara tidak sah untuk memegang jawatan itu.

Sidang kemuncak itu serta Sidang Kemuncak Asia Timur dengan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand pada asalnya dijadualkan pada 15 hingga 18 Dis di Bangkok, sebelum kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Somchai Wongsawat memindahkannya ke Chiang Mai berikutan bantahan dan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD).

Namun, apabila PAD menawan dan menutup Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang pada hujung November, kerajaan ketika itu menunda sidang kemuncak ke Mac. Ekoran peristiwa berkenaan, upacara bagi mengingati penguatkuasaan Piagam Asean dilakukan ke Sekretariat Asean di Jakarta bulan lepas.

Abhisit berkata jabatan keselamatan memberikan lampu hijau bagi penganjuran sidang kemuncak di Hua Hin, kirakira tiga jam perjalanan dari sini dan terkenal dengan keindahan pantai serta istana musim panas Raja Bhumibol Adulaydej.

Mengenai mesyuarat Asean+3 dan Asean+6, Abhisit berkata ia akan diadakan pada April tetapi tarikh dan tempat mesyuarat belum ditetapkan lagi. Keduadua mesyuarat tidak dapat diadakan bersama Sidang Kemuncak Asean kerana para pemimpin China sibuk dengan Kongres Kebangsaan mereka.

Anggota Asean yang lain ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan