Tampal poster: Jaminan polis terhadap lima anggota AMK dilanjut Ahad ini

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU: Tempoh jaminan polis terhadap lima anggota Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) termasuk Timbalan Ketuanya, Fariz Musa berikutan tindakan mereka menampal poster wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu di sekitar Kuala Terengganu awal pagi semalam dilanjutkan sehingga Ahad ini.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Fariz berkata, mereka telah dimaklumkan bahawa siasatan masih belum lengkap dan jaminan polis telah dilanjutkan sehingga Ahad.

Kata beliau, sebelum lanjutan tempoh jaminan tersebut, pihak polis telah melawat pusat gerakan AMK yang disediakan menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Terdahulu, kelima-lima mereka telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 2 petang tadi untuk siasatan lanjut berhubung tindakan itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Shukri Dahlan berkata, pihaknya telah meminta kelima-lima mereka hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan. Kita hanya akan mengambil tindakan selepas proses siasatan lengkap," katanya ketika ditemui di lokasi penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, mereka telah dibebaskan atas jaminan polis semalam dan pihaknya memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Lima anggota AMK itu telah ditahan awal pagi semalam kerana menampal poster Altantuya di sekitar Kuala Terengganu - tindakan yang dipercayai berkaitan dengan jenayah intimidasi.

Dalam pada itu, Fariz yang ditemui di lokasi penamaan calon pagi tadi berkata, pihaknya diminta hadir ke IPD Kuala Terengganu pada petang ini.

"Saya difahamkan mungkin kami akan dibawa ke mahkamah untuk sebutan kes hari ini," katanya.

Fariz mengaku, beliau telah ditahan kira-kira pukul 5.05 pagi semalam ketika menampal poster yang berwajah Altantuya.

Katanya, mereka dibebaskan kira-kira 1.15 pagi tadi.

"Kami dilepaskan atas jaminan polis selepas Majistret menolak permintaan polis untuk menahan reman kami selama empat hari lagi.

"Polis boleh menahan kami sehingga 5 pagi ini tetapi kami dilepaskan pada pukul 1.15 pagi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan