Harun buat kejutan tidak tanding, bakal hadapi tindakan AKIM

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI 2 PETANG] KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Angkatan Keadilan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad yang memutuskan untuk tidak bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada saat-saat terakhir hari ini, dijangka berhadapan dengan tindakan disiplin parti.

Harun masuk ke pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tadi tetapi tidak menyerahkan borang setelah mengubah fikiran atas alasan peribadi dan politik.

"Pagi ini saya mendapat ilham (untuk tidak bertanding). Lagipun, saya tidak berapa sihat sekarang.

"Saya memberi laluan kepada calon PAS untuk menghadapi Umno," katanya ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Harun, 63, yang juga Pesuruhjaya Akim Terengganu bagaimanapun menafikan yang beliau dipujuk oleh mana-mana parti politik termasuk PAS untuk tidak bertanding.

Beliau turut meminta penyokong AKIM, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno supaya menyokong calon PAS atas alasan bahawa dasar Akim dan PAS adalah selaras untuk menjaga kepentingan masyarakat Islam.

Harun sebelum ini pernah bertanding pada pilihan raya umum 1974 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut Harun bakal berdepan tindakan disiplin.

Presiden AKIM, Hanafi Hamat, berkata Harun juga telah mengkhianati parti kerana menyatakan sokongan terbuka kepada calon PAS pada pilihan raya kecil itu.

"Harun telah menghampakan harapan AKIM apabila menarik diri tetapi lebih mengecewakan apabila menyokong pula PAS," katanya kepada Bernama di Kuala Krai hari ini.

Di pusat penamaan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu hari ini, Harun yang juga dikenali sebagai Abdul Rahman, membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu tanpa memberi alasan yang spesifik.

Hanafi berkata walaupun Harun bukan merupakan calon yang direstui pihaknya kerana ia diumumkan oleh kumpulan lain dalam AKIM, itu tidak bermakna dia boleh bertindak sedemikian.

"Kerana kita tidak mahu perpecahan berlaku dalam parti, kita membuat keputusan supaya Harun diberi peluang bertanding tetapi tindakannya (menyokong calon PAS) tidak diterima oleh parti," katanya.

Hanafi berkata majlis tertinggi AKIM akan mengadakan mesyuarat tergempar tidak lama lagi bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap Harun.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan