Tampal poster: 5 anggota Pemuda PKR bebas dengan jaminan polis

Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI, 7 MALAM} KUALA TERENGGANU: Lima anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang ditahan awal pagi ini kerana menampal poster wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu di sekitar Kuala Terengganu awal pagi tadi - tindakan yang dipercayai berkaitan dengan jenayah intimidasi, telah dibebaskan petang tadi.

Mereka dibebaskan atas jaminan polis, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada sidang media di sini petang tadi.

Termasuk mereka yang ditahan polis ialah Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa dan empat lagi ahli skuad sayap negeri ini.

Fariz juga Timbalan AMK pusat.

Poster yang hanya membawa wajah Altantuya tanpa sebarang mesej ditampal di banyak kawasan yang menjadi laluan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang berada di sini untuk menghadiri siri majlis menjelang hari penamaan calon esok.

Poster sedemikian juga ditampal di kawasan pusat media Jabatan Penerangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Fauzi Abduri mengesahkan pihaknya telah menahan keenam mereka di Jalan Cerung Lanjut pukul 4.45 pagi tadi.

Mereka dibebaskan selepas dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman.

Dalam pada itu, Ketua AMK pusat, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan polis menahan mereka.

Kata beliau, penahanan Fariz jelas merupakan satu bentuk intimidasi awal BN yang memanipulasi pihak polis untuk mengekang kempen yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.

"Apa yang menghairankan ialah apakah aktiviti penampalan poster boleh dikaitkan sebagai satu hasutan yang boleh membawa kepada kemudaratan awam?" kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kata beliau lagi, AMK difahamkan bahawa yang menjadi isu ialah poster yang ditampal memaparkan gambar Altantuya yang dibunuh dua tahun lalu.

"Persoalan timbul apakah masalah yang dihadapi dengan paparan gambar mendiang Altantuya jika ia tidak mensabitkan mana-mana pihak berkenaan?" kata beliau lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan