Pelantikan Tuanku Mukhriz sebulat suara - Undang Rembau

Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

REMBAU: Pelantikan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru Isnin lepas diputuskan secara sebulat suara tanpa lobi-melobi oleh mana-mana pihak, kata Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman.

Dalam satu temuramah eksklusif dengan Bernama di kediamannya di sini, beliau menafikan desas-desus kononnya ada pihak-pihak tertentu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan cuba mempengaruhi keempat-empat Datuk Undang Luak negeri itu dalam membuat keputusan mereka berhubung pelantikan itu.

"Dalam Enakmen Kerajaan Negeri Sembilan, kuasa mutlak untuk melantik Yang Dipertuan Besar terletak hanya kepada Undang Yang Empat sahaja, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Undang Luak Rembau dan Datuk Undang Luak Johol, dengan dipengerusikan oleh Datuk Undang Luak Sungai Ujong.

"Untuk makluman semua, keputusan mesyuarat atau kerapatan kami adalah 100 peratus atau sebulat suara," katanya bagi menjelaskan salah laporan terutama oleh penulis-penulis blog berhubung pelantikan Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz, 60, menggantikan bapa saudaranya, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86, yang mangkat Sabtu lepas setelah menjadi Yang Dipertuan Besar selama 41 tahun.

"Saya cukup menghargai dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana beliau tidak mempengaruhi atau campur tangan dengan urusan pemilihan ini sebagai mana desas-desus yang kita dengar.

"Saya menafikan desas-desus ini. Beliau bersikap amat profesional dalam hal ini," kata Muhamad Sharip.

Datuk Undang Luak Rembau itu juga ditanya apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh Datuk Undang Yang Empat sebulat suara melantik Tuanku Muhriz, kerabat Diraja yang tidak dikenali ramai yang sebelum ini bergelar Tunku Besar Seri Menanti.

Muhamad Sharip hanya menjawab: "Itu memang hak mutlak Datuk Undang yang Empat untuk menentukan yang mana faktor-faktor itu terpulanglah kepada mereka sahaja dan pada pemikiran mereka pada masa itu".

Spekulasi mengenai pemilihan Yang Dipertuan Besar yang baru sebelum ini banyak memihak kepada putera sulung Almarhum Ja'afar, Tunku Naquiyuddin, iaitu Tunku Laxamana Negeri Sembilan yang berprofil tinggi di kalangan masyarakat Malaysia.

Mengenai perasaannya kerana terlibat secara peribadi dalam peristiwa bersejarah untuk memilih Yang Dipertuan Besar atau lebih dikenali sebagai Yam Tuan yang baru, Muhamad Sharip berkata perkara itu tidak termimpi olehnya.

"Kita hidup ini, mungkin dia (Yam Tuan) pergi dulu, mungkin kita pergi dulu. Kebetulan Almarhum Tuanku Ja'afar yang pergi dulu daripada kita dan kita terpaksa menjalankan amanah ini," katanya.

Beliau menyifatkan tanggungjawab memilih Yam Tuan yang baru buat pertama kali dalam lebih 40 tahun itu sebagai "cukup-cukup berat".

"Ia cukup-cukup berat kerana kalau di negeri-negeri lain, pelantikan itu daripada ayah turun ke anak, tetapi tidak di Negeri Sembilan. Kita unik".

Muhamad Sharip berkata bukanlah mudah untuk Datuk-Datuk Undang itu membuat keputusan kerana mereka harus mengambil kira segala aspek dan banyak sudut.

Beliau juga bangga kerana kerahsiaan mengenai keputusan pelantikan Tuanku Muhriz sebagai Yam Tuan yang baru dapat kekalkan tanpa ada kebocoran sehingga pemasyhuran rasmi dibuat sejurus sebelum acara pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar diadakan selepas solat Asar Isnin lepas.

Katanya keputusan Datuk Undang Yang Empat itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu malah kepada Tuanku Muhriz sendiri atau tiga lagi kerabat Diraja yang layak dipertimbangkan sebagai pengganti.

Ketiga-tiga mereka terdiri daripada putera Almarhum Tuanku Ja'afar iaitu Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran dan Tunku Putera Nadzaruddin.

Mengenai Almarhum Tuanku Ja'afar, Datuk Undang Luak Rembau berkata: "Kami sebenarnya rapat dengan Almarhum dan kasih sayang padanya.

"Bagi kami kemangkatannya adalah satu kehilangan besar kepada rakyat Negeri Sembilan dan kepada kami Undang Yang Empat kerana seperti umum mengetahui, Almarhum bukanlah calang-calang orangnya," katanya.

Beliau berkata Almarhum Tuanku Ja'afar merupakan seorang raja yang baik, adil, berfikiran tajam, penyabar dan selalu membuat sesuatu keputusan secara bermusyawarah.

Muhamad Sharip juga bersetuju bahawa terdapat minat di kalangan rakyat khususnya di luar Negeri Sembilan untuk mengetahui secara lebih meluas tentang Adat Pepatih yang digunapakai di Negeri Sembilan, terutama ekoran pemilihan Yam Tuan yang baru.

Katanya, beliau sendiri mengambil inisiatif ke arah ini dan sebuah buku mengenai Adat Pepatih dan perkara-perkara berkaitan dengannya akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Buku itu yang bertajuk "Legasi Ketuanan Rembau" akan diedarkan ke sekolah-sekolah di samping dijual pasaran buku dan khusus ditumpukan kepada generasi muda.

"Sebagai contoh, tidak ramai orang terutama di luar Negeri Sembilan tahu bahawa Datuk Undang Yang Empat adalah co-Ruler atau Pemerintah Bersama dan Ahli Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yam Tuan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan