Mangsa banjir di Pahang meningkat 2,514

Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di seluruh Pahang meningkat kepada 2,514 orang pagi ini berbanding hanya 246 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,386 orang, diikuti daerah Pekan seramai 919 orang.

Beliau berkata seramai 128 orang lagi dari daerah Maran diikuti Raub (48 orang) dan Cameron Highlands (33 orang).

Katanya sehingga pukul 8 pagi tadi sebanyak 26 pusat pemindahan dibuka di seluruh Pahang melibatkan 13 pusat pemindahan di daerah Kuantan, masing-masing empat di Raub dan Maran manakala tiga di Pekan dan dua lagi di daerah Cameron Highlands.

Di Kuantan, katanya antara kawasan yang terlibat dengan banjir ialah di Sungai Lembing, Panching, Jaya Gading, Kampung Pahang, Cendering, Kampung Jawa, Taman Tas dan Gambang.

Di Pekan, antaranya melibatkan kawasan Kampung Cenderawasih, Kampung Padang Rumbia, Kampung Penadah, Kampung Padang dan Seri Setia manakala di Raub melibatkan kawasan Batu Talam, Cheroh dan Pamah Kulat.

Katanya daerah Maran pula antaranya melibatkan kawasan Sungai Ketam, Luit dan Ulu Luit manakala di Cameron Highlands melibatkan kawasan Lembah Bertam, dekat Ringlet.

Setakat ini, jalan di km8 hingga KM12 Jalan Sungai Lembing-Kuantan; KM19 hingga 24 Jalan Pekan-Nenasi dan KM19 hingga KM24 Jalan Rompin-Nenasi masih ditutup kepada semua kenderaan.

Katanya terdapat dua kejadian tanah runtuh di daerah Cameron Highlands iaitu di Batu 49 Jalan Kampung TerlaKampung Raja dan Jalan Kampung Terla, Brinchang yang berlaku pagi semalam namun kerja-kerja pembersihan telah dilakukan sebelum dibuka semula petang semalam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan