PERISTIWA DAN DASAR PENTING TAHUN 2009

Diterbitkan: Jumaat, 2 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Politik

- Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Peralihan kuasa tersebut akan berlaku semasa Perhimpunan Agung Umno, Mac ini.

- Pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan berlangsung 17 Januari ini. Hari penamaan calon adalah pada 6 Januari. Ia diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen bahagian itu, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Disember lalu akibat serangan jantung.

- Pemilihan parti MIC akan bermula April ini dan akan berakhir dengan perhimpunan agung parti pada Jun.

Pengangkutan

- Penumpang kenderaan di bahagian belakang wajib memakai tali pinggang keselamatan berkuat kuasa semalam. Peraturan itu dikenakan ke atas semua penumpang bagi kenderaan yang mempunyai sembilan tempat duduk atau kurang daripada itu. Mereka yang melanggar peraturan itu akan dikompaun RM300 sehingga hujung Jun ini dan jumlah itu akan meningkat RM2,000 atau maksimum satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali bermula 1 Julai ini.

- Penunggang motosikal yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Baru Lembah Klang, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan Lebuh Raya Elite akan mendapat diskaun 10 peratus jika melakukan perjalanan antara tengah malam sehingga 7 pagi bermula semalam sehingga 31 Disember 2010.

Kes mahkamah

- Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan pendakwaan sama ada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan oleh Mahkamah Sesyen.

Caruman KWSP

. Bermula bulan ini, sebahagian daripada 5.5 juta penyumbang EPF boleh memilih untuk mengurangkan sumbangan bulanan mereka daripada 11 kepada 8 peratus. Langkah itu bagi membenarkan pekerja mempunyai lebihan pendapatan setiap bulan.

Cukai

- Pelaksanaan sistem baru potongan cukai berjadual (PCB) berkuat kuasa semalam yang memberi pilihan kepada pekerja dan dan majikan untuk menentukan sendiri jumlah potongan cukai setiap bulan.

Rokok

- Kotak rokok diwajibkan mempunyai amaran bergambar yang menunjukkan bahaya tabiat merokok. Amaran bergambar itu mesti melitupi 40 peratus bahagian depan dan 60 peratus bahagian belakang kotak.

Harga minyak

- Harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan kini turun daripada RM1.30 kepada RM1.20 seliter.

Pinjaman PTPTN

- Caj perkhidmatan tiga peratus pinjaman PTPTN kini dikurangkan kepada satu peratus.

BPR

- BPR kini dikenali dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia. Penubuhan suruhanjaya tersebut diluluskan Dewan Rakyat 16 Disember lalu.

Radio Televisyen Malaysia

- RTM1 dan RTM2 kini dikenali sebagai TV1 dan TV2 dan akan bersiaran selama 24 jam yang akan menyiarkan 49 berita sehari dan pelbagai program berinformasi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan