Pesta seks: Penyampai berita, pelakon ditahan positif dadah

Diterbitkan: Khamis, 1 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Seorang penyampai berita televisyen swasta dan seorang pelakon wanita adalah antara 26 orang yang ditahan dalam pesta seks dan dadah sambutan tahun baru di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee di sini, awal pagi tadi.

Operasi pukul 3.30 pagi yang diketuai oleh ASP Mahani Ahmad dari Bahagian D7 cawangan maksiat, judi dan kongsi gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL )itu turut mendapati pembaca berita wanita dan pelakon itu positif dadah.

Mahani berkata, serbuan di sebuah bilik di tingkat 11 itu turut menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, kokain dan syabu serta minuman keras.

"Kesemua 26 yang ditahan berumur 18 hingga 31 tahun dan sembilan daripadanya iaitu enam lelaki dan tiga wanita positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pembaca berita wanita itu gagal dalam saringan pertama ujian air kencing yang mana didapati positif dadah jenis ketamin dan syabu.

Mahani berkata turut ditahan dalam serbuan itu seorang pelajar dari sebuah kolej swasta di Kelana Jaya berusia 20 tahun yang dipercayai ejen pembekal dadah.

Katanya ketika serbuan terdapat tiga pasangan berada di atas katil manakala selebihnya sedang berhibur dalam keadaan separuh sedar dipercayai mabuk.

Difahamkan pesta seks dan dadah itu dianjurkan oleh dua lelaki dan kesemua mereka berkenalan di dalam kelab dan melalui rangkaian laman web friendster.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPKKL dan sembilan yang positif dadah disiasat di bawah Sekyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Sementara itu, sambutan malam tahun baru di Bukit Bintang tercemar apabila kira-kira 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Bintang mendapati beberapa kejadian pergaduhan membabitkan remaja dilaporkan berlaku sejurus selepas detik 12 malam tadi.

Antara punca pergaduhan itu adalah akibat salah faham dan kerana mabuk.

Bagaimanapun anggota polis yang bertugas bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan mereka yang terlibat telah ditahan untuk siasatan.

Selain itu, ada di kalangan pelancong asing yang menjadi sasaran peragut membabitkan kehilangan wang tunai, pasport dan alatan elektronik (gadget).

Sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh Balai Polis Bergerak yang ditempatkan di lokasi sambutan Tahun Baru di Jalan Bukit Bintang tersebut.

Seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas membuat kawalan pada malam itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan