Ingkar MB: 2 pemimpin PKR pertahan pemilihan ketua kampung

Diterbitkan: Rabu, 31 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempertahankan tindakan mereka meneruskan proses penamaan calon pemilihan ketua Kampung Baru bagi Kampung Gunung Rapat, Ipoh Ahad lalu walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai menyifatkan tindakan mereka meneruskan proses penamaan calon itu sebagai proses menyatakan hasrat penduduk untuk memilih ketua kampung yang dimahukan oleh mereka.

Dr Lee ketika dihubungi mStar Online lewat petang semalam berkata, beliau akan berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin malam tadi bagi menjelaskan keadaan itu. Nizar sebelum ini melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Dr Lee dan Chan yang mengingkari arahan itu.

"Bila Menteri Besar kata kita tidak mematuhi arahan, ia sebenarnya satu salah faham kerana apa yang kita lakukan itu tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

"Ia (penamaan calon) adalah satu proses supaya penduduk dapat menyatakan hasrat mereka," katanya.

Beliau berkata, apabila penduduk telah memilih calon ketua kampung Khamis ini, beliau dan Chan akan mencadangkan nama itu kepada kerajaan ini bagi urusan lantikan.

Ditanya kemungkinan calon yang menang itu nanti tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri, Dr Lee berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian tentang perkara itu.

Sementara itu, Chan berkata, beliau menerima sebarang keputusan kerajaan negeri sama ada akan menerima atau sebaliknya nama calon yang akan dicadangkan nanti.

"Kuasa lantikan masih terletak kepada kerajaan negeri, jadi apa sahaja keputusannya, kita terima," katanya.

Berhubung laporan yang diminta oleh Nizar berhubung pemilihan ketua kampung itu, Chan berkata, beliau akan menyerahkan laporan itu selepas proses pemilihan tersebut berlangsung Khamis ini.

"Kita akan serahkan laporan lengkap termasuk masalah-masalah yang timbul pada hari pemilihan itu nanti," katanya.

Semalam, Mohammad Nizar melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Dr Lee dan Chan apabila mereka enggan mematuhi larangan kerajaan negeri tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua Kampung Baru, Gunung Rapat.

Justeru, beliau telah mengarahkan mereka menyerahkan laporan berhubung pemilihan ketua kampung yang akan diadakan pada Khamis ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga telah mengarahkan proses penamaan calon bagi jawatan berkenaan yang diadakan semalam dibatalkan dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan pemilihan bagi jawatan berkenaan.

Dalam proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Fook Tat Chee itu, seramai lima penduduk kampung berkenaan berusia 39 hingga 68 tahun menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan pemilihan ketua Kampung Baru kerana mesyuarat Exco kerajaan negeri telah memutuskan jawatan berkenaan hanya dibuat secara lantikan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan