Biar pengundi tentukan siapa layak - Wan Ahmad Farid

Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, beliau tidak akan sesekali menyerang peribadi calon parti lawan baik dari PAS mahupun calon Bebas.

Wan Ahmad berkata, beliau tidak akan terpengaruh dengan permainan pembangkang yang sudah mula melancarkan 'perang saraf' apabila mengatakan bakal menampilkan calon yang lebih 'layak' berbanding calon BN. Kenyataan itu dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Terengganu di sini, semalam. Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata, beliau tidak berhak menyatakan siapa yang paling layak dicalonkan kerana hanya pengundi yang berhak memutuskannya.

"Nak kata saya layak atau tak, itu pilihan mereka. Tapi saya sesekali tidak akan kata calon mereka atau mana-mana calon bebas sekiranya ada, tidak layak," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini. Beliau bagaimanapun berkata, bagi BN adalah perkembangan yang bagus apabila lawan mula menyerang peribadi kerana ia menunjukkan mereka sudah tidak ada isu lain.

Mengulas kelewatan PAS mengumumkan calon mereka yang sepatutnya pada semalam, beliau berkata ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada BN.

Katanya, lebih mudah untuk beliau dikenali penduduk Kuala Terengganu terutamanya pengundi kerana setakat ini belum ada calon lain yang tampil.

Setakat ini, pilihan raya kecil itu juga diramal akan turut disertai dua calon bebas, iaitu dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan bekas calon bebas Parlimen Rantau Panjang, Kelantan, Isma Airfath Hassanuddin, 38 tahun.

Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof, 89, yang lebih dikenali sebagai Tok Mun, turut menyuarakan hasrat menjadi calon sekiranya mempunyai wang yang cukup.

"Ia juga menunjukkan kepada rakyat, BN kotakan janji untuk umum calonnya semalam (kelmarin). Mungkin ini strategi PAS, tapi apabila Mursyidul Am PAS kata nak calon ni, Ketua Pemuda pula nak calon yang tu, yang lain pula kata nak calon lain, itu ditafsirkan sebagai sudah ada masalah dalaman," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan