15 kawasan cerun bukit di Ampang berisiko - MB Selangor

Diterbitkan: Isnin, 22 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Lima belas kawasan cerun bukit di seluruh Ampang dekat sini termasuk Bukit Antarabansga, lokasi tragedi tanah runtuh dua minggu lalu, telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri Selangor sebagai berisiko.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti lima daerah di Selangor yang mempunyai kebarangkalian untuk berlaku tanah runtuh.

Kawasan-kawasan itu ialah Bukit Antarabangsa, UKAY Heights, Taman Hijau, Taman Hillview dan Dataran UKAY yang terletak di bahagian Dewan Undangan Negeri Bukit (DUN) Antarabangsa.

Kawasan terbabit dalam DUN Hulu Kelang ialah Taman Melawati, UKAY Perdana dan Taman Kemensah.

Dua kawasan dalam DUN Lembah Jaya ialah Taman TAR dan Bukit Sungat Seputih.

Dalam DUN Teratai lima kawasan dikenal pasti iaitu Bukit Teratai, Bukit Permai, Taman Saga, Taman Mega dan Bukit Segar.

"Kerajaan negeri sedar keperluan usaha jangka panjang bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang telah mengorbankan empat nyawa sementara satu masih hilang.

"Pemantauan agensi kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan cerun bukit di seluruh Ampang yang berisiko," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media di lokasi tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa di sini pagi ini.

Daerahh-daerah yang mempunyai kebarangkalian untuk berlaku tanah runtuh ialah Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Petaling.

"Perlu diingatkan bahawa penjagaan kawasan cerun bukit adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah itu sendiri.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan menulis surat kepada semua pemilik tanah cerun bukit di Selangor untuk mengingatkan mereka akan tanggungjawab ini," katanya.

Namun katanya jika pemilik-pemilik tanah berkenaan enggan mengambil tindakan susulan, kerajaan negeri akan mengambil alih penyelenggaraannya berdasarkan peruntukan Perkara 13 (A) Kanun Tanah Negara.

"Kita akan selenggara dan kemudiaan kita akan kenakan caj kepada pemilik tanah yang degil itu," katanya.

Dengan itu, pemilik tanah akan mengambil kira risiko yang ada sebelum membuat keputusan membina bangunan di atas tanah cerun bukit.

"Kami juga akan mengumumkan kawasan tanah cerun bukit yang dimiliki kerajaan negeri dan anak syarikat di mana kerajaan negeri akan mengambil tanggungjawab penuh dalam penjagaan cerun bukit," katanya lagi.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata buat masa ini kerajaan negeri masih belum mempunyai angka sebenar jumlah penduduk dan unit perumahan yang dikenalpasti berisiko.

"Sebenarnya risiko yang dikenalpasti bukanlah keseluruhan kawasan yang disenaraikan itu.

"Contohnya bukan semua perumahan dalam Taman Mega itu berisiko, ada kawasan-kawasan tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Namun katanya kerajaan negeri akan mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menjalankan bancian bagi kawasan-kawasan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan