Ahmad Farid letak jawatan Senator 5 Januari

Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah) diberikan ucapan tahniah oleh penyokongnya selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam. - fotoBERNAMA
DATUK Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah) diberikan ucapan tahniah oleh penyokongnya selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam, akan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara sehingga 5 Januari ini.

"Saya sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri semalam, saya akan meletakkan jawatan sebagai Senator sehari sebelum penamaan calon," kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Penamaan calon akan diadakan 6 Januari manakala pengundian pula dijadual 17 Januari.

Esok dan lusa beliau akan menghadiri sidang Dewan Negara.

WAN AHMAD FARID: SEPINTAS

- Berusia 46 tahun

- Timbalan Menteri Dalam Negeri

- Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri

- Ketua Pemuda Umno Terengganu

- Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu

- Kelayakan akademik: Jurusan undang-undang

Pemilihan Ahmad Farid, 46, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu sebagai calon BN diumumkan di Kuala Terengganu petang semalam oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selaku anggota Dewan Negara beliau juga memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Pada minggu lalu tempoh perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara disambung satu penggal.

Ahmad Farid berkata, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga Setiausaha Politik kepada Abdullah.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Ketika ditanya perasaan apabila diumumkan sebagai calon semalam, Ahmad Farid berkata, beliau terharu dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk kepimpinan parti komponen BN.

"Begitu juga dengan sokongan akar umbi ahli-ahli Umno," katanya.

Menjawab soalan sama ada yakin bahawa akan menjadi calon BN kali ini, Ahmad Farid yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu berkata: "Dalam politik tiada seratus peratus yakin... masa satu minggu adalah tempoh yang terlalu lama."

Sejurus selepas diumumkan sebagai calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya parti dan kira-kira 500 penyokong dalam satu acara badminton semalam.

"Hari ini saya akan menemui balu Allahyarham Datuk Razali (Toh Puan Noraini Lob Yusof) untuk memaklumkan tentang pemilihan saya sebagai calon.

"Saya memang ada jumpa beliau banyak kali, tetapi saya mahu menemui hari ini dan memaklumkan tentang pemilihan saya sebagai calon," katanya lagi.

Beliau yang yakin akan mencapai kemenangan berkata, jika mereka yang pernah menyokong BN pada 8 Mac lalu terus memberikan undi, BN berpeluang mempertahankan kerusi Kuala Terengganu.

Jelas beliau, usaha akan ditumpukan untuk menarik pengundi-pengundi atas pagar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan