Pak Lah tolak spekulasi terus kekal PM

Diterbitkan: Jumaat, 19 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak spekulasi bahawa beliau tidak akan berundur daripada jawatan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

"Khabar angin mana, cuba beritahu saya? Khabar angin adalah khabar angin," kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.

Abdullah menegaskan demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa beliau tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Pelbagai pihak khususnya penulis blog mengadaikan bahawa Abdullah yang menjadi Perdana Menteri sejak Oktober 2003 tidak akan menyerahkan kepada Najib yang bakal diumumkan sebagai Presiden Umno Mac depan.

Secara tradisi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri.

Najib telah pun menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno bulan lalu selepas pencalonan berakhir.

Abdullah tidak mempertahankan jawatan itu kali ini.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada akan membuat rombakan Kabinet sekarang.

"Belum pasti hendak buat atau tidak. Saya tidak dapat nak kata apa-apa pada waktu ini," katanya.

Semasa melawat Turkmenistan bulan lepas, beliau dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet dalam masa terdekat tidak hanya untuk mengisi jawatan yang kosong tetapi juga akan melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan