Anwar: Usaha PM perangi rasuah tiada sokongan bawahan

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa usul Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman tidak mendapat sokongan pemimpin bawahannya.

Menurut Ketua Pembangkang itu, hanya Abdullah yang bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya berkenaan sedangkan rakan-rakan seangkatannya dalam Barisan Nasional (BN) masih dalam situasi penafian.

"Saya menghargai inisiatif Perdana Menteri untuk membawa perubahan dengan penubuhan suruhanjaya ini tapi saya tidak dapat kesan satu dokongan dari pimpinan pentadbiran sama seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)...hanya sekadarnya sahaja.

"Saya tidak dapat pertikaikan kerana saya tidak dapat bayangkan dalam pimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang, ada keinginan nak buat perubahan...yang lain itu kelu membisu...masih dalam state of denial," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pelantikan Kehakiman 2008 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, isu perubahan dalam sistem kehakiman ini telah dibicarakan sejak tahun 80-an lagi termasuk mengenai kes-kes tertunggak dan perjalanan mahkamah yang melibatkan kos yang tinggi tetapi penyelesaian isu-isu sedemikian katanya, tidak diperuntukkan di bawah rang-rang undang-undang tersebut.

Beliau turut mencadangkan ahli-ahli Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mengapa tidak ada diberi satu taraf seperti SPR. SPR yang dilantik oleh Agong pun ada masalah, inikan pula atas budi bicara Perdana Menteri dengan beberapa jawatankuasa.

"Jarang suruhanjaya dalam negara kita ni, perlantikannya melibatkan Perdana Menteri dan diangkat supaya dirujuk untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

"Kalau isunya adalah keperluan pindaan Perlembagaan, kita telah beri jaminan dan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah beri pengakuan. Kalau Perdana Menteri berhasrat untuk meminda, kita akan berikan sokongan," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa keraguan jika pimpinan pada masa hadapan boleh meneruskan ikrar untuk melakukan perubahan seperti yang dilakukan Abdullah.

"Perdana Menteri sekarang ada ikrar yang jelas. Kita boleh tahu apa yang akan berlaku. Sebab itu kita tidak boleh terikat kepada budi bicara seorang, beliau harus terikat dengan peraturan dan undang-undang

"Ramai rakan dari BN mengatakan Perdana Menteri mesti ada pengaruh tapi jangan kita berikan ruang bila berubah umpamanya pimpinan, kerosakan parah semula," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) meminta penjelasan lanjut tentang Fasal 9 rang undang-undang tersebut berhubung kuasa Perdana Menteri membatalkan pelantikan mana-mana ahli suruhanjaya tanpa memberikan sebab pembatalan.

"Perdana Menteri boleh menggugurkan mereka jika didapati tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Fasal 11 dan 23 tetapi adakah pengguguran itu nanti tidak menimbulkan spekulasi jika tidak diberikan penjelasan.

"Saya cadangkan, sebab pengguguran itu dijelaskan kepada umum bagi mewujudkan keyakinan rakyat terhadap akta yang kita luluskan," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan yang lebih komprehensif terhadap tafsiran empat orang terkemuka selain hakim-hakim yang turut boleh dilantik menjadi anggota suruhanjaya seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 5 (1) (f).

Sementara itu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) turut meminta satu tapisan terhadap empat orang terkemuka yang bakal dilantik itu bagi memastikan mereka bebas daripada tekanan lobi dan tidak ada hubungan peribadi atau korporat dengan kehakiman.

"Selain itu, kita juga nak tahu sama ada Perdana Menteri akan betul-betul berunding dengan Majlis Peguam supaya tiada keraguan dengan pelantikan anggota suruhanjaya," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan