Kerajaan tiada cadangan letak SPRM bawah Parlimen

Diterbitkan: Selasa, 16 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah bercadang untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata,Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ada pada masa ini juga merupakan badan bebas yang bukan berada di bawah kuasa eksekutif atau pun perundangan.

"Kalau orang pertikai satu daripada cabang eksekutif mengongkong BPR dan dibahas secara hangat, mengapa pula kita mahu meletakkan SPRM di bawah kuasa perundangan.

"Kita tidak pernah putuskan ia mesti duduk di bawah Parlimen kerana nanti seseorang itu didapati bersalah atau tidak berdasarkan popularitinya dalam Dewan dan orang yang popular mungkin dianggap tidak bersalah.

"Dalam terma, keadilan demokrasi bukanlah penentu keadilan. Sebab itu kita tidak pernah berniat melakukannya...tidak sama sekali kerana kita juga mengamalkan politik partisan," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Berhubung bantahan terhadap hal pendakwaan yang memerlukan keizinan daripada Jabatan Peguam Negara, Nazri berkata, ahli-ahli Parlimen perlu membezakan antara Peguam Negara sebagai individu dan sebagai sebuah kamar.

"Yang kita maksudkan adalah Peguam Negara sebagai kamar. Kita mesti minta kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.

"Masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ini adalah berhubung dengan Peguam Negara sebagai individu. Kalau individu, kita selesaikan secara individu.

"Jadi janganlah kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar," katanya.

Nazri berkata, kuasa pendakwaan oleh Pendakwa Raya dalam Fasal 58 rang undang-undang itu adalah selaras dengan Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan tidak bercadang untuk membuat sebarang pindaan ke atas Perkara 145 tersebut dan kuasa memulakan pendakwaan kekal sebagai kuasa Peguam Negara," katanya.

Beliau berkata, jika benar kerajaan dan pembangkang benar-benar mahu mempunyai Peguam Negara yang bebas memandangkan pelantikan yang sedia ada dikatakan atas dasar politik, tidak mustahil Suruhanjaya Pelantikan Peguam Negara juga boleh diwujudkan, sama seperti Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Selain itu, Nazri berkata, satu panel Penilaian Operasi turut ditubuhkan di bawah SPRM bagi peringkat pentadbiran bagi menilai kes-kes yang tidak diputuskan untuk tidak disiasat.

"Bagi mengelakkan pandangan negatif, Panel Penilaian Operasi ditubuhkan bagi memastikan ia diputusakn dengan telus.

"Ia tidak disebut dalam akta tetapi dilakukan secara pentadbiran oleh menteri yang bertanggungjawab kepada pencegahan rasuah," katanya.

Beliau berkata, pendakwaan hanya akan dibuat jika keterangan mencukupi dan wujud keraguan munasabah.

"Jika tidak menunjukkan ada kesalahan, maka ia akan berakhir dengan penangguhan yang seterusnya akan dibawa kepada panel penilai ini," katanya.

Nazri berkata, tugas penilaian ini tidak diberikan kepada mana-mana jawatankuasa kerana kerajaan mahu setiap jawatankuasa termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Aduan memberi fokus kepada skop tugas masing-masing.

Berhubung cadangan supaya SPRM memmpunyai Suruhanjaya Perkhidmatannya sendiri, Nazri berkata, hal itu tidak boleh dilaksanakan pada masa ini kerana ia akan memerlukan pindaan kepada Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan.

"Mengapa pindaan yang perlu tidak dibuat walaupun Jemaah Menteri secara dasarnya bersetuju dengan cadangan itu...kerana kita perlu berunding.

"Sekarang kita tidak cukup dua pertiga. Kita harus bekerja di alam nyata dan kalau dapat pinda, saya akan lakukan.

"Saya tidak fikir kita akan dapat sokongan daripada pembangkang walaupun kita setuju," katanya.

Beliau turut menolak bahawa pembentukan SPRM adalah hasil tsunami politik yang berlaku selepas pilihan raya umum Mac lalu.

"BPR telah membuat persediaan ke arah penubuhan suruhanjaya ini sejak awal tahu 2007 dan mula digerakkan secara aktif pada Jun 2007 dengan mengambil kira model-model yang bersesuaian dengan senario negara ini," katanya.

Berhubung kadar kejayaan ICAC Hong Kong berbanding BPR negara ini dalam menyelesaikan kes-kes rasuah, Nazri berkata, ICAC menerima banyak maklumat berkualiti yang boleh dite ruskan sehingga menghasilkan pendakwaan di mahkamah.

"Usaha-usaha sedang dibuat BPR untuk meningkatkan keberkesanan BPR melalui pendekatan intelligence based investigation.

"Hasilnya conviction rate telah berjaya ditingkatkan dari 68 peratus pada tahun 2005 ke 77 peratus sehingga Oktober 2008," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan