Bapa temui anak maut pegang telefon bimbit

Diterbitkan: Sabtu, 6 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUSNAH... Beginilah keadaan rumah-rumah banglo di satu daripada dua taman perumahan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur awal pagi ini, yang rosak teruk akibat tanah runtuh. Rumah-rumah banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah. Kejadian turut menyebabkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap. -fotoBERNAMA
MUSNAH... Beginilah keadaan rumah-rumah banglo di satu daripada dua taman perumahan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur awal pagi ini, yang rosak teruk akibat tanah runtuh. Rumah-rumah banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah. Kejadian turut menyebabkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: "Masa kejadian pukul 3 lebih itu saya terdengar anak saya memekik dan berkata rumah kami bergegar dan bergerak. Ketika gelongsoran pertama saya masih terdengar suaranya, sehinggalah gelongsoran yang ketiga," kata bapa kepada seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sekitar Bukit Antarabangsa pagi tadi.

Datuk Shahrudin Adnan, 63, berkata, anak bongsunya dari dua orang adik-beradik itu, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dipercayai tertimbus selepas runtuhan ketiga di banglo dua tingkat mereka.

"Saya menggunakan telefon bimbit untuk mengesan anak saya yang tertimbus. Shaiful kemudiannya ditemui dengan tangannya yang sejuk dan masih memegang telefon bimbit, dan dia disahkan telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Shaiful Khas adalah antara tiga orang yang dilaporkan terkorban setakat 10.30 pagi tadi dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama pada 4 pagi tadi.

Shahrudin berkata, beliau bersama isteri dan seorang anak saudara mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui bumbung.

"Penghuni di apartmen hadapan rumah kami menghubungi polis dan bomba. Bila bomba sampai baru saya dapat mengesan anak saya melalui deringan telefon bimbit yang dipegangnya ketika itu," katanya.

Beliau berkata malam tadi, anaknya memberitahu dia mahu tidur di tingkat bawah sementara beliau sendiri bersama isterinya serta anak saudara mereka itu tidur di tingkat atas.

Beliau berkata, kejadian mungkin berpunca daripada projek perumahan yang terbengkalai di atas bukit sejak 10 tahun lepas.

"Ada enam unit rumah di atas, mungkin disebabkan tidak dapat menahan unit rumah tersebut, menyebabkan runtuhan tanah berlaku," katanya yang menginap di situ sejak 13 tahun lepas.

Katanya sebelum ini berlaku gegaran kecil pada bukit itu tetapi disangka berlaku kejadian lebih buruk seperti hari ini.

Seorang doktor haiwan, S. Yogeswari, 40, turut maut semasa cuba menyelamatkan anaknya Thidesh, 10, dalam suasana gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik.

Bagaimanapun suami mangsa, yang hanya dikenali sebagai Thanarajah, 40, berjaya menyelamatkan anaknya itu tetapi gagal menyelamatkan Yogeswari.

Thanarajah, seorang jurutera berkata dalam keadaan panik itu, beliau turut sempat menyelamatkan dua lagi anaknya, Avinesh, 11, dan Priyanka, 3.

"Saya masuk semula ke dalam rumah untuk selamatkan anak saya yang berusia 10 tahun (Thidesh), dan bila saya masuk kali ketiga untuk menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah," katanya kepada pemberita dalam keadaan sedih di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua anaknya cuma cedera ringan dan kini dirawat di HKL, katanya.

Thanarajah berkata ketika kejadian, rumahnya yang agak hampir dengan kaki bukit bergegar sebelum lantai rumah mereka mengelongsor.

"Waktu itu saya tengah tidur, kemudian terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran bukit. Saya selamatkan anakanak, namun ketika saya hendak menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah dan kemudian diselamatkan oleh bomba," katanya yang cedera di tangan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan