Pilihan raya kecil: SPR terima notis, mesyuarat khas Jumaat ini

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Mesyuarat khas ini akan menetapkan tarikh mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kosong," kata Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil tersebut akan diadakan pada tahun ini juga, Wan Ahmad berkata: "Biar kami putuskan pada mesyuarat itu nanti."

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini memberitahu notis kekosongan bagi kerusi Parlimen tersebut telah pun dihantar ke SPR.

"Ia (notis) telah pun dihantar sebentar tadi," katanya ringkas.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menerima notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu minggu depan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, notis kemungkinan akan dikeluarkan minggu depan sebab sehingga pagi semalam sijil kematian Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail tidak diperoleh.

"Sijil itu diperlukan untuk disertakan bersama notis kekosongan," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Pilihan raya kecil akan diadakan ekoran kematian mengejut Razali ketika bermain badminton di Genting Highlands Jumaat lalu.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

BERITA TERDAHULU

Pilihan raya kecil: SPR tunggu notis, MB bimbang banjir

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga petang semalam (pukul 4 petang) pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas," kata beliau yang dihubungi petang semalam.

"Kami masih menunggu makluman daripada Parlimen," kata beliau lagi.

Pejabat Speaker Dewan Rakyat ketika dihubungi petang semalam turut mengesahkan yang notis akan dikeluarkan dalam waktu terdekat, dipercayai minggu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan ini kerana negeri itu sedang dilanda banjir.

"Kalau bulan ini agak sulit sikit. Kerana musim ini musim banjir. Kita serah kepada SPR.

"Kita tak ada kata putus. Kita ikut sahaja," kata beliau dipetik Bernama selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Terengganu, Top IT Industries Sdn Bhd dan Intel Malaysia semalam.

Ahmad yakin Umno dapat mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kecil itu walaupun ia dijangka sengit.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Pilihan raya kecil sebelum ini ialah Permatang Pauh, yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan diadakan minggu ini, Wan Ahmad menjelaskan bahawa "kita akan memutuskan sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat memaklumkan tentang kekosongan."

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan. Sama ada pilihan raya kecil itu akan disegerakan, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh panel anggota SPR.

Pilihan raya kecil akan diadakan ekoran kematian mengejut Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail ketika bermain badminton di Genting Highlands Jumaat lalu.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

Pada pilihan raya umum lepas Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Pilihan raya kecil ini jika diadakan sebelum hujung bulan bermakna ia dikendalikan tanpa Pengerusi dan Setiausaha.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menunaikan haji manakala belum ada pengganti jawatan Setiausaha.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan Setiausaha akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya kecil, Wan Ahmad berkata, masalah tersebut tidak akan wujud.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan