Mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN petang ini

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pengurusan pada jam 1 petang ini.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Menara Dato' Onn itu akan dihadiri oleh beberapa pemimpin parti komponen.

"Mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh empat atau lima pemimpin parti komponen dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Berhubung agenda yang akan dibincangkan, Subramaniam berkata, ia hanyalah mesyuarat yang biasa diadakan bagi membincangkan tentang pengurusan BN.

"Ia hanya mesyuarat biasa tentang pengurusan dan bukan tentang dasar kerana jika untuk membincangkan dasar, ia perlu dibincangkan pada peringkat Dewan Tertinggi BN," katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat tersebut akan membincangkan tentang isu ketuanan Melayu dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Subramaniam berkata, beliau tidak pasti tentang perkara itu.

"Tunggulah esok. Baru kita tahu apa yang akan dibincangkan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Yaakob Mohammad ketika dihubungi turut enggan mengulas lanjut.

"Biarlah Datuk Seri Najib yang umumkan perkara yang dibincang jika ada sidang media nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan