Datuk Shah Rukh Khan kalis dengan umpatan isu gelaran Datuk

Diterbitkan: Selasa, 2 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Populariti Datuk Shah Rukh Khan tidak boleh dinafikan lagi.
Populariti Datuk Shah Rukh Khan tidak boleh dinafikan lagi.

PETALING JAYA: Walau ramai yang mempertikaikan haknya untuk bergelar 'Datuk', pelakon Bollywood popular Datuk Shah Rukh Khan langsung tidak ambil pusing tentang segala kritikan yang dilemparkan padanya.

Dalam satu temubual eksklusif dari kediaman mewahnya 'Mannat' di Bandra, Mumbai lewat malam semalam, Shah Rukh Khan dengan segala rendah hati mengucap terima kasih bertalu-talu atas penghargaan yang tinggi dari Kerjaan Negeri Melaka itu.

"Saya cukup terharu dengan anugerah yang diberi oleh Kerajaan negeri Melaka ini.

"Saya menyanjung tinggi penghargaan ini dan saya ingin sekali memohon maaf kepada Kerajaan Malaysia dan semua peminat saya di sana kerana tidak dapat hadir pada masa itu," jelas superstar yang ternyata kalis dengan segala tangkapan negatif yang mengheret beliau ke dalam kancah kontroversi, kononnya beliau tidak layak diberi anugerah 'Datuk.'

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua di Malaysia, yang telah menunjukkan bukan sedikit kasih sayang pada saya dengan memberi sokongan moral selama ini," kata pelakon yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia ini.

Menurut Shah Rukh, bukan niatnya untuk tidak hadir ke istiadat penganugerahan yang ditetapkan. Jadual kerja yang begitu padat tidak mengizinkan beliau datang lebih awal seperti yang telah disampaikan pada Kerajaan negeri Melaka.

"Itu semua adalah satu salah faham. Sebenarnya saya hanya mendapat tahu tentang anugerah ini semasa saya berada di lapangan terbang Singapura.

"Ketika seorang kawan saya datang untuk mengambil saya, saya bertanyakan beliau. Adakah benar seperti apa yang saya baca ini?

"Beliau memberitahu darjah kebesaran yang saya terima itu adalah amat berprestij dan saya sangat teruja apabila mendengarnya.

"Sejak dari itu, saya tidak berhenti memberitahu hampir semua orang (sambil ketawa) termasuk media dari Amerika, England, South Afrika dan ramai lagi tentang anugerah yang saya dapat," kata bintang terkenal yang ternyata begitu teruja dengan pengiktirafan yang diberikan.

Selepas berita itu, Shah Rukh sepatutnya hadir untuk satu upacara khas pemberian anugerah pada 28 atau 29 November.

Ternyata, masalah kesihatan membuatkan beliau gagal untuk hadir buat kali kedua.

"Kali ini saya jatuh sakit pula, mungkin kerana terlalu kuat bekerja. Sekali lagi saya memohon jutaan maaf. Semua ini tidak disengajakan," kata Shah Rukh.

Kali ini, walaupun keadaan di bandar Mumbai agak kucar-kacir akibat pengeboman oleh pihak militan, Shah Rukh tetap akan datang juga ke Malaysia.

Ketika wawancara ini dibuat, beliau turut berkata 'Insya Allah' dan mengesahkan kehadirannya Sabtu ini, 6 Disember untuk menerima sendiri gelaran 'Darjah Mulia Seri Melaka' (DMSM) dari Yang Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, di Dewan Seri Negri, Ayer Keroh, Melaka pada jam 10 pagi dengan disaksikan oleh 1,000 orang tetamu kehormat.

Tapi, sayang sekali kata Shah Rukh, beliau hanya dapat berada di Melaka untuk upacara penganugerahan itu selama satu hari saja, iaitu Sabtu 6 Disember.

"Saya mempunyai tugasan penting di Mumbai dan saya perlu menghadirkan diri untuk prebiu filem saya dan juga sidang akhbar. Alangkah baiknya kalau saya dapat tinggal lama sikit di sini, tapi apakan daya...," jelas Shah Rukh yang filem terbarunya Rab Ne Bana Jodi akan ditayangkan di seluruh negara mulai 11 Disember ini.

Namun, kedengaran beliau begitu gembira bila ditanya akan persalinan pakaian baju Melayu, siap dengan samping dan songkok yang akan dipakainya nanti.

"Itu yang diberitahukan pada saya. Entahlah, saya harap saya kelihatan kacak dalam pakaian itu," kata Shah Rukh (ketawa lagi).

Bagi Shah Rukh, Malaysia begitu istimewa di hatinya.

"Malaysia cukup istimewa dan senantiasa dekat di hati. Bukan saja ianya tempat saya sering mengadakan penggambaran untuk filem-filem saya seperti One To Ka Four dan Don, tapi saya selalu bawa famili saya berlibur dan melawat teman-teman saya di sana.

"Saya harap dapat curahkan kasih sayang yang sama pada mereka di sana. Cukup besar ertinya kasih sayang yang Malaysia tunjukkan pada saya, May God Bless You," ujarnya.

Ditanya apakah reaksi beliau ketika membaca begitu banyak kritik yang membantah pemberian anugerah 'Datuk' kepadanya, secara sinis Shah Rukh menjawab:

"Saya tidak perlu membaca apa-apa di surat khabar atau internet untuk mengetahui pasal diri saya.

"Saya tahu siapa diri saya. Apa orang tulis tentang saya, samada baik atau buruk tidak akan mengubah apapun persepsi saya. Saya tahu apa yang saya berhak dapat atau tidak dapat.

"Mungkin orang akan cakap saya pentingkan diri saya. Memang betul pun. Tapi itu lah saya. I am my own best friend," kata pelakon hebat yang akan membintangi tiga filem mega tahun depan iaitu - My Name Is Khan, Ravana dan Don 2.

Lagipun, jelasnya, "Saya pernah mendapat Anugerah Padmashree dari Kerajaan India, mendapat penghormatan di Malaysia dan Perancis dan patung saya juga ada dipamerkan di Madame Tussaud, London.

"Saya mendapat bayaran lumayan atas apa yang usahakan. Saya ada rumah yang cantik, keluarga yang bahagia dan sahabat-sahabat yang baik seperti anda semua di Malaysia.

"Apa lagi yang saya mahukan? Saya berasa amat bersyukur pada Tuhan dengan semua anugerah ini. Sebenarnya, saya tak kisah dan ambil pusing apa yang orang nak tulis atau kata pasal diri saya," jelas pelakon yang baru menyambut hari kelahirannya yang ke 43 pada 2 November baru-baru ini.

Shah Rukh yang sudah membintangi filem-filem box office seperti Baazigar, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Dil Tu Pagal Hai, Chakde India, Pardes, Kabhi Kushie Kabhi Gham dan Om Shanti Om (antara lain), juga mempunyai satu sikap yang tidak pernah menyesal dengan tindak tanduknya. Mahupun keputusan berlakon dalam apa jua filem.

"Ya, saya tidak pernah menyesal melakonkan apa saja watak yang telah diberikan padanya selama ini.

"Malah, saya rasa bangga dengan semua filem lakonan saya kerana saya telah memberikan yang terbaik. Kenapa saya harus menyesal? Setiap pengambaran merupakan satu pengalaman menarik dan ini tidak akan dapat saya rasai kalau saya tidak berada dalam filem itu. Jadi tidak ada sebab kenapa saya tak bangga dengan semua filem saya," jelas ayah kepada dua orang anak ini.

Dan dalam usia 43 tahun, Shah Rukh menganggap usia begini sebagai 'tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua.'

"Saya akan tetap berlakon sehingga usia saya 72 tahun, kalau umur panjang. Dan saya akan masih berlakon dengan gadis-gadis jelita yang saya anggap seperti anak-anak saya.

"Saya tidak boleh bayangkan saya menjadi pengarah kerana saya dilahirkan untuk menjadi pelakon," kata usahawan yang telah mula melebarkan sayapnya ke bidang hartanah di Dubai.

Gelaran Pelakon Bollywood No 1 juga tidak berapa digemari Shah Rukh.

"Nombor atau angka yang saya tahu hanya layak untuk telefon saja. Bagi pekerjaan seperti yang saya lakukan ini, sebetulnya tidak perlu diletakkan nombor.

"Saya cuma tahu berkerja kuat dan melihat hasilnya. Ada yang kata saya Pelakon No 1. Ada yang kata saya Pelakon Corot. Jadi saya binggung.... mana satu yang betul ni?

"Seeloknya saya tidak ambil peduli hal-hal macam ni. Saya hanya perlu kerja kuat kerana ini adalah pekerjaan saya. Lagipun, hanya ada satu Shah Rukh Khan saja dalam dunia ini," katanya mengakhiri perbualan dengan memberi 'Salam'.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan