Anggota sektor awam diberi opsyen semula bertukar ke skim pencen

Diterbitkan: Khamis, 27 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju supaya opsyen semula diberikan kepada anggota sektor awam yang telah memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bertukar kepada skim pencen dalam tempoh sebulan bermula 1 Januari 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai perjawatan dan gaji pekerja-pekerja sektor awam itu adalah untuk memberi peluang kepada anggota sektor awam mengambil skim pencen yang akan mula berkuat kuasa 1 Februari depan.

"Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi ex-gratia kepada ibubapa anggota perkhidmatan awam yang meninggal dunia berkuat kuasa 1 Januari 2009," katanya semasa majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam di sini, hari ini.

Abdullah berkata, dua lagi keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah untuk membuat penambahbaikan terhadap skim pegawai siasatan, penolong pengarah siasatan dan pembantu siasatan bagi memperkasa kegiatan pencegahan rasuah dan pembanterasan jenayah.

"Bagi urusan pencegahan rasuah, skim perkhidmatan tersebut akan bermula dengan kelulusan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Bagi PDRM pula, penambahbaikan bagi skim perkhidmatan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan konstabel berkuat kuasa pada 1 Januari 2009," katanya.

Abdullah berkata, selain itu, memandangkan persamaan fungsi dan tugas antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, TLDM dan PDRM dari aspek penguatkuasaan undang-undang, kerajaan telah bersetuju supaya kadar tambahan 20 peratus atas kadar kenaikan gaji diberi kepada pegawai dan pegawai lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkuat kuasa 1 Januari depan.

Berhubung daya saing negara, Abdullah memetik laporan World Competitiveness Year Book 2008 yang menunjukkan Malaysia berjaya meningkatkan kedudukannya ke tangga ke19 tahun ini berbanding ke20 tahun lepas. Bagi kategori negara dengan penduduk melebihi 20 juta orang pula, Malaysia berada di kedudukan ketujuh berbanding kelapan pada tahun lepas.

Beliau berkata, pencapaian yang baik juga diperlihatkan daripada segi inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi hasil daripada peningkatan usaha agensi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan secara online.

"Mengikut penilaian Brown University, kedudukan Malaysia telah meningkat daripada tangga ke25 pada tahun lalu kepada tangga ke 11 tahun ini," katanya.

Abdullah berkata, perkhidmatan awam boleh merasa bangga dengan pencapaian itu kerana kerajaan telah menetapkan sasaran untuk melonjakkan kedudukan Malaysia ke taraf 10 teratas dalam manamana kategori penarafan antarabangsa.

Katanya, inisiatif penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam harus berdasarkan kepada ukuran yang objektif dan bukan pendapat subjektif sematamata.

Beliau juga mahu pemilihan pemenang anugerah kualiti sektor awam dibuat berasaskan kriteria keunggulan yang mantap serta tahap penilaian yang tinggi agar kewibawaan pemenang terbukti serta tidak dipertikaikan mana-mana pihak.

"Jika kelayakan pemenang anugerah dipersoalkan, maka ia akan menghakis keyakinan umum terhadap program anugerah kualiti sektor awam.

"Untuk itu, pengukur bagi pemenang anugerah bukan hanya setakat memenuhi kriteria keunggulan semata-mata tetapi turut melepasi ujian dari segi penerimaan umum terhadap kecemerlangan agensi penerima," katanya.

Abdullah berkata, kini sektor awam tidak lagi dikritik setelah kualiti sektor perkhidmatan awam dipertingkatkan.

"Sekarang ini amat kurang aduan diterima terhadap perkhidmatan awam dan ini dikesan dari dialog-dialog yang diadakan," katanya.

CUEPACS MENGALU-ALUKAN KEMUDAHAN MEMILIH SKIM PENCEN

Sementara itu, Kongres Kesatuan PekerjaPekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan kakitangan awam yang kini berada di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyertai skim pencen mulai tahun depan.

Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohamad Zain berkata lebih 45,000 kakitangan awam dalam skim KWSP akan mendapat faedah jika memilih skim pencen.

Kakitangan kategori tersebut sebelum ini memilih skim KWSP semasa kali terakhir semakan gaji tetapi mendapati tindakan itu tidak menguntungkan dalam jangka masa panjang, katanya di sini.

Ahmad Shah berkata CUEPACS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menerima cadangan mereka dalam perkara ini. Kongres telah memohon kemudahan itu untuk sekian lama dan bersyukur kerana akhirnya tertunai, katanya.

Katanya CUEPACS kini menunggu surat pekeliling rasmi dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum menasihatkan semua ahli yang terbabit.

Pengumuman mengenai opsyen kepada mereka yang dibawah skim KWSP untuk memilih skim pencen dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam di Putrajaya hari ini.

Tempoh membuat pilihan itu adalah dari 1 Jan hingga 31 Jan 2009 dan tarikh kuatkuasanya adalah pada 1 Feb.

Ahmad Shah berkata CUEPACS juga bangga bahawa bayaran exgratia kepada ibu bapa kakitangan kerajaan bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan berkuatkuasa mulai 1 Jan depan.

Katanya kerajaan serius dalam usaha membendung gejala rasuah di kalangan kakitangan awam dan ini dapat dilihat menerusi langkah kerajaan membuat penambaikan pada skim pegawai siasatan, penolong pegawai siasatan dan pembantu pegawai siasatan.

Penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada skim perkhidmatan pegawai polis berpangkat rendah dan konstable.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan