Beriburibu penumpang terkandas akibat penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi

Diterbitkan: Rabu, 26 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK:Gerakan terkini bagi menggulingkan kerajaan Thailand mengakibatkan beriburibu pelancong asing dan pengembara, termasuk lebih 400 anggota jemaah haji, terkandas apabila pintu keluar masuk utama ke negara ini, Lapangan Terbang Suvarnabhumi, ditutup oleh penunjuk perasaan anti kerajaan.

Sejak pukul 9 malam Selasa, semua penerbangan keluar dibatalkan, manakala penerbangan masuk turut terhenti hari ini apabila pihak berkuasa lapangan terbang Thailand, Airport of Thailand (AOT) meminta syarikat penerbangan dari seluruh dunia supaya tidak menggunakan lapangan terbang itu hingga diberitahu kelak.

Pada mulanya, AOT bercadang membuka lapangan terbang itu tengah hari ini, tetapi membatalkannya apabila beriburibu anggota Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) terus menghalang jalan raya utama ke sana.

Ketegangan dan kekacauan yang semakin memuncak ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Sidang Kemuncak Asean Ke-14 di Chiang Mai dari 13 hingga 18 Disember ini, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung di sini, akan ditangguh dan begitu juga nasib kejohanan bola sepak Piala Asean dari 5 hingga 10 Disember.

Pada kira-kira pukul 1 tengah hari ini (waktu Thailand), beratusratus penumpang transit yang terkandas di terminal lapangan terbang berkenaan telah dibawa keluar dan dihantar ke beberapa hotel di sini apabila Novotel Airport Hotel yang mempunyai 600 bilik, dipenuhi penghuni.

"Kami menguruskan visa semasa ketibaan bagi mereka dan membawa mereka ke beberapa hotel. Bagi mereka yang tidak mendapat visa semasa ketibaan, kami telah meminta bantuan kedutaan masing-masing untuk membawa mereka keluar," kata seorang pegawai Thai Airways.

Antara yang terkandas ialah 416 anggota jemaah haji dari wilayah selatan Thailand, yang sepatutnya menaiki sebuah pesawat Iranian Airline pada pukul 8 pagi ini.

"Kami tiba di lapangan terbang ini pada kira-kira pukul 10 pagi dalam beberapa kumpulan. Syarikat penerbangan itu memaklumkan kepada kami bahawa kami boleh terbang keluar pada 11 pagi, tapi sampai kini, kami masih di sini," kata Osman Abdullah, 45, dari Narathiwat.

Osman berkata mereka bimbang sekiranya lapangan terbang itu terus ditutup beberapa hari lagi, jemaah haji akan menghadapi masalah untuk memasuki Arab Saudi kerana visa kemasukan mereka akan tamat tempoh.

"Kami telah meminta beberapa belia kami yang bekerja dan belajar di Bangkok supaya berunding dengan para pemimpin PAD agar membenarkan kami terbang keluar.

Mereka (PAD) bersetuju, tapi malangnya pesawat kami pula belum tiba," katanya.

Dewan berlepas di lapangan terbang yang dibuka dua tahun lepas itu telah diambil alih oleh para penyokong PAD, yang kebanyakan mereka berpakaian kuning.

Ada dalam kalangan mereka yang tidur di lantai, kaunter daftar masuk dan ruang istirahat kelas pertama Thai Airways.

Kebanyakan penumpang asing terkejut apabila mendapati tidak kelihatan seorang pun anggota polis bertugas di situ, selain beberapa kakitangan syarikat penerbangan di kaunter pendaftaran masuk bagi membantu penumpang yang terkandas.

Kebanyakan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan melarikan diri malam tadi apabila anggota PAD menyerbu lapangan terbang itu. Apa yang mengejutkan ialah para penyokong PAD mengambil alih tugas mengedar makanan dan minuman kepada penumpang yang terkandas.

"Ini teruk... kami dah pergi ke merata tempat, tapi tak ada seorang pun kakitangan Air Asia apabila kami tiba di sini. Kami dibiarkan bersendirian... nasib baiklah pemandu pelancong kami ada bersama dan menolong mencari tempat penginapan untuk kami," kata seorang warga India, yang hanya mahu dikenali sebagai John.

Lelaki ini berkata kumpulannya yang mengandungi 36 pelajar dan guru dari sebuah sekolah antarabangsa di Kuwait, sepatutnya terbang ke Kuala Lumpur hari ini selepas melawat Pattaya.

Seorang rakyat Malaysia yang tidak mahu dikenali berkata beliau datang ke lapangan terbang itu dengan harapan perkhidmatan penerbangan disambung semula, tetapi dimaklumkan oleh satusatunya kakitangan Air Asia yang bertugas di situ bahawa beliau akan diletakkan dalam penerbangan pada pukul 7 pagi pada Khamis.

Sekumpulan 10 rakyat Filipina yang dalam perjalanan ke Dubai, turut terkandas. "Kami tiba di sini malam tadi dari Manila bagi mengambil penerbangan sambungan. Tapi, penerbangan kami dibatalkan dan kini mereka membawa kami ke hotel," kata Angie.

Linda, ahli perniagaan dari Afrika Selatan, berkata dia tiba di lapangan terbang berkenaan bersama anak lelakinya pada pukul 8.45 malam Selasa, tetapi tidak dibenarkan mendaftar masuk bagi mengambil penerbangan ke Johannesburg.

"Seorang wanita yang bertugas di kaunter meminta kami duduk menunggu di ruang istirahat, manakala seorang kakitangan lain menasihati kami supaya beredar dari sini bagi mengelak bahaya.

Tapi, apabila kami ke stesen teksi, polis meminta kami masuk semula kerana tidak ada kenderaan yang akan membawa kami keluar," katanya.

Linda berkata beliau diberi makanan dan minuman oleh penunjuk perasaan serta mendapat maklumat terkini daripada anak perempuannya yang melayari Internet di rumah.

Beberapa penyokong PAD membawa poster yang tertulis katakata meminta maaf atas kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pengembara dan berkata mereka berbuat demikian bagi menggulingkan kerajaan yang mengamalkan rasuah dan sekutu perdana menteri yang digulingkan sebelum ini, Thaksin Shinawatra.

Para pemimpin PAD memaklumkan kepada hadirin bahawa mereka akan terus berada di situ sehingga Perdana Menteri Somchai Womgsawat melepaskan jawatan.

Beliau dijadualkan kembali ke tanah air dari Peru dan penerbangan sewa khasnya dijangka dilencongkan ke Chiang Mai kerana para penunjuk perasaan turut menuju ke Lapangan Terbang Utapao tidak jauh dari Pattaya.

Walaupun suasana di kebanyakan tempat di ibu negara ini terus tenang, spekulasi semakin memuncak kononnya tentera akan melancarkan ramapasan kuasa bagi mengawal keadaan, walaupun pemimpinnya Jen Anupong Paochinda enggan memberi sebarang ulasan.

Ada juga kemungkinan Somchai akan mengumumkan darurat dan meminta Anupong menyelesaikan masalah berkenan, yang telah mencemar nama baik negara dan memporakperandakan industri pelancongan Thailand yang selama ini menjana pendapatan lumayan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan