Pertandingan RafidahShahrizat boleh menggugat perpaduan parti Pemerhati politik

Diterbitkan: Isnin, 24 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perebutan jawatan tertinggi pergerakan Wanita Umno dilihat akan meninggalkan kesan negatif kepada parti itu.

Pertandingan dua penjuru di antara Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilihat akan menggugat perpaduan dalam pergerakan tersebut.

Beberapa pemerhati politik yang dihubungi mengakui pertandingan itu akan mewujudkan bunga-bunga perpecahan secara tidak langsung.

Menurut pemerhati politik daripada Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussien, pertandingan tersebut akan mewujudkan perpecahan kerana persepsi masyarakat di negara ini tidak melihat pertandingan sebagai satu proses demokrasi.

“Ini silapnya masyarakat kita. Suka lihat pertandingan dari sudut negatif saja. Mereka fikir bila ada pertandingan akan wujudkan perpecahan, sedangkan pertandingan sepatutnya membawa kebaikan kalau dijalankan secara sihat,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelas Ahmad, sekiranya sesuatu pertandingan dijalankan secara 'gentleman', masalah tersebut akan dapat ditangani.

“Adat pertandingan ada kalah dan menang. Tapi yang kalah kena terima kekalahan. Yang menang pula perlu bersatu dengan mereka yang kalah untuk memperkuatkan semula parti,” katanya.

Ahmad berkata, sifat dendam dan ego calon perlu diketepikan bagi mengukuhkan perpaduan dalam parti.

“Tidak ada salahnya, jika yang menang melantik calon yang kalah untuk memegang jawatan dalam parti. Ini akan dapat mengurangkan jurang sokongan akibat kemenangan calon-calon tertentu.

“Hakikatnya perkara seperti itu sukar dilaksanakan di sini (Malaysia). Setiap pemimpin ada penyokong mereka tersendiri dan kemenangan satu-satu calon itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong calon masing-masing,” ujarnya.

Tegas beliau, pertandingan dua penjuru itu perlu dihentikan segera kerana ia akan menimbulkan perpecahan yang lebih serius di masa hadapan.

“Saya cuma ingin nasihatkan kepada Shahrizat lebih baik dia tarik diri. Itu jalan yang terbaik. Jika tidak Wanita Umno akan berpecah. Lagipun jika dia (Shahrizat) kalah karier politiknya akan terkubur begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman melihat perpecahan itu hanya bersifat sementara.

“Saya lihat pada peringkat awal pasti akan wujud puak-puak tertentu dan ia bersifat sementara kerana, ahli-ahli parti pasti akan kembali menyokong siapa yang jadi ketua mereka,” ujarnya.

Menyifatkan pertandingan Shahrizat dan Rafidah sebagai 'battle for the best', Ahmad berkata ia baik untuk menyuburkan proses demokrasi.

“Namun apa yang dikhuatiri adalah masalah seperti politik wang akan menjadi duri dalam daging menjelang pemilihan parti itu Mac depan,” katanya.

Jelas beliau pertandingan dua penjuru antara Shahrizat dan Rafidah terjadi disebabkan Shahrizat tidak punya pilihan lain.

“Dia (Shahrizat) tersepit di tengah-tengah, sama ada nak bertanding atau ditandingi?, Akhirnya dia ambil keputusan untuk bertanding,” katanya.

Menurut Ahmad, sudah menjadi trend ahli-ahli Umno mahukan angin perubahan terutamanya selepas apa yang telah berlaku pada pilihan raya umum ke-12, (PRU12) 8 Mac lalu.

“Ahli-ahli Umno mahukan perubahan dan mereka melihat Shahrizat sebagai pengganti yang terbaik untuk pergerakan itu,” katanya.

Bagi pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman pula, beliau menyifatkan pertandingan dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai masalah kuasa kepimpinan.

“Saya lihat Shahrizat dan Rafidah mahu kuasa itu untuk meneruskan karier politik masing-masing,” katanya.

Menurut Zaini, perubahan yang berlaku semasa pencalonan bahagian berlangsung sepatutnya memberi isyarat yang jelas kepada Rafidah untuk berundur.

“Ahli-ahli Wanita di peingkat akar umbi mahukan perubahan dan ia telah diterjemahkan dengan memberi pencalonan kepada Shahrizat walaupun ada pelan peralihan ketika itu,” ujarnya.

Jelas beliau, keputusan yang akan dibuat oleh perwakilan Wanita pada pemilihan parti Mac depan akan memperlihatkan kematangan pergerakan itu.

“Saya lihat hal ini (pertandingan) ini akan menguji kematangan ahli-ahli parti. Terpulang kepada mereka untuk melihat pertandingan ini dari sudut positif ataupun negatif,” katanya.

Tambahnya, pertandingan tersebut memperlihatkan Wanita Umno sedang berada dalam proses transisi dari sudut idealisme dan peranan mereka.

“Wanita Umno sudah tidak mahu dikenali sebagai sayap yang hanya melengkapi Umno secara keseluruhan. Mereka mahu jadi vokal dalam mengetenghakan isu-isu berkaitan wanita. Saya lihat mereka mahu keluar dari kepompong yang lama,” katanya.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan