Dr Asri Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu

Diterbitkan: Jumaat, 21 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.

"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap.

Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran. Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia.

Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.

Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain.

Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.

Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya.

Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam.

Selama hampir satu jam temubual mStar Online di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.

Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi.

Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:

BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP

Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak.

Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu. Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.

ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS

Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.

ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI

Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas.

Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan. Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira.

Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.

MAKSUD DR?

Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.

ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK

Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....

TAPI DR TIDAK NAFIKAN?

Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.

BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?

Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.

ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?

Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....

MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?

Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.

ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?

Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.

Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak. Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur. Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak?

Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna.

Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.

TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?

Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.

SEDUTAN TEMURAMAH BHGN 1

KEMUNGKINANNYA MENJADI AHLI POLITIK?

Itu memerlukan satu kajian yang saya akan buat ketika itu nanti. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan perkara itu sesuai atau tidak.

ADAKAH DR PERLUKAN JAWATAN UNTUK MELONTARKAN PANDANGAN BILA BALIK NANTI?

Dalam kehidupan umat Islam ini, ada beberapa perkara pasal tokoh ini. Ada tokoh yang terkenal kerana jawatannya sedangkan dia itu bila dicabut jawatannya, maka he isnothing Ada orang tanpa jawatan, dia dianggap berwibawa. Ada orang, jawatan dan dia digabungkan sekali barulah kewibawaan itu nampak.

Bukan sedikit dalam sejarah pemikiran, munculnya ada tokoh-tokoh tidak mempunyai jawatan, mereka dianggap pemikir besar yang menjadi rujukan. Budaya ini mesti kita hidUpkan dalam masyarakat.

Cuma kita ada banyak tokoh agama, sebahagian pergi ke politik dan sebahagian ada kepentingan tertentu. Keadaan ini hilang. Wujudkan tokoh dengan kemampuannya sendiri dengan pemkirannya yang luas boleh berlaku dalam dunia Islam. Bahkan mufti-mufti yang tidak rasmi lebih terkenal dari mufti-mufti terkenal dalam dunia Islam.

Kita tak tahu mufti-mufti dalam negara ini tetapi tokoh-tokoh besar tak tahu apapun jawatannya tapi pemikirannya sangat besar.

Ini tidaklah bererti saya menolak jawatan. Saya hanya menegaskan bahawasanya hal itu boleh berlaku. Untuk menyampaikan kepada pemikiran, tetap boleh dilakukan kalau kena pada caranya.

Pemikiran ini dapat disebarkan bila seseorang tidak mempunyai jawatan. Memilikki jawatan dalam keadaan tertentu membantu seseorang dalam masyarakat. Yang perlukan jawatan kerana pihak-pihak berkuasa mengambilkira jawatan kerana dianggap authority mungkin perlu, tidak memadai sekadar pandangan.

JADI DR SENDIRI MELIHAT DR DALAM KATEGORI MANA?

Saya tak tahulah....Saya nak kena tengok dulu apa akan berlaku jika saya memberikan pandangan tanpa jawatan. Adakah pandangan itu masih lagi dianggap berharga, bernas atau telah tidak bernas kerana saya tidak ada jawatan.

Selama ini saya jadi mufti, saya rasa banyak pandangan saya banyak berbeza dari orang lain, kalau dari sudut popular, ianya tidak boleh popular kerana berbeza dengan banyak tokoh-tokoh agama di Malaysia.

Alhamdulillah, pandangan saya yang bernas itu senantiasa dapat diketengahkan dan dibincangkan, dilihat asas-asas pandangan dan banyak pandangan saya yang ditentang pada peringkat awalnya kemudiannya diterima sebagai pendapat umum dan dibincangkan di peringkat negara.

Walaupun masih ada yang kontra tapi masih ada yang boleh menerima.

SEDUTAN TEMURAMAH BHGN 2

DR DIANGGAP 'A THREAT' PADA MUFTI-MUFTI LAIN? ADAKAH DR RASA TIDAK SELESA DENGAN SITUASI INI ATAU TIDAK KISAH?

Saya tidak kisah hal ini sebab kalau saya ingat memegang jawatan Mufti dalam keadaan selesa saya kenalah mencari keselesaan, ada kereta rasmi, tak payah beri pandangan, buat berserabut kepala. Saya tidak pilih itu.

Saya turun ke kampung, berjumpa berbagai lapisan, golongan cerdik pandai, terangkan apa yang kita bawa...menunjukkan ini bukan satu perjuangan untuk senang. Perjuangan untuk sampaikan mesej. Alhamdulillah ada perbezaan dengan banyak pihak tapi dari segi rakyat, mereka boleh menerima.

ADA NEGERI YANG TIDAK BENARKAN DR MASUK BAGI CERAMAH. BOLEH KOMEN?

Di Malaysia semua negeri saya boleh masuk. Saya boleh masuk, tapi tidak dibenarkan bagi ceramah dalam platform-platform yang mereka ini ada kuasa.

Pada masyarakat tempatan di negeri tertentu, beribu ramai yang datang nak dengar saya berucap. Tapi saya tidak hadir disebabkan pihak agama yang rasa kehadiran saya akan menggugat pandangan-pandangan yang mereka berikan atau takut saya akan mengkritik pengurusan agama sebab itu mereka tidak benarkan.

DR PERNAH DILABEL SEBAGAI PENCERAMAH UMNO DAN KADANGKALA PENYOKONG PAS

Kita kena memecahkan cara berfikir rakyat Malaysia ni. Mereka senantiasa menjangka dalam dunia ini haya ada dua warna saja - hitam atau putih, kuning ataupun biru - salah satu.

Manusia mesti boleh berfikir di luar daripada keterikatan ini. Apabila saya memberi pandangan yang berbeza dengan Umno, tidak bermakna saya berpihak pada pembangkang. Dan apabila saya mengkritik PAS, ini bukan bermakna saya mewakili Umno.

Ini perkara yang gagal difahami sehingga kita senantiasa mempunyai pengampu dan orang-orang yang takut berfikir di luar dari kotak ini.

Kritikan boleh diberikan kepada rakan kalau dia salah. Pada mulanya Umno terkejut, PAS terkejut. Tapi sekarang sudah ada orang mula berfikiran di luar keterikatan ini. Kenapa harus dihadkan segala kutukan untuk musuh kita, segala pujian pada kawan kita? Tidak semestinya. Segala kritikan boleh ditujukan pada kawan kalau dia salah.

Dan pujian pada musuh kita kalau dia berbuat sesuatu yang elok dari segi moral. Ini tidak mustahil tapi ini tidak dikenali oleh dunia yang telah memblog-blogkan manusia di atas nama parti-parti politik. Pemilihan politik Malaysia sepatutnya sama macam di Amerika.

DR MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN RAMAI VIP, KOMEN DR?

Saya ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, menteri-menteri juga dengan pemimpin pembangkang. Tetapi ini tidak menghalang saya memberi pandangan.

Saya tidak mengutuk anda tetapi saya berhak memberi pandangan yang berbeza dengan anda. Saya bukan dibayar gaji untuk pengampu dan ini tidak seharusnya berlaku.

RATA-RATA APAKAH RESPON DARI ORANG RAMAI APABILA MEREKA MENDENGAR DR AKAN LEPASKAN JAWATAN MUFTI PERLIS

Ada yang tanya kenapa nak berhenti, tak sesuai ke? Tapi saya bersungguh dalam hal ini. Raja Perlis minta saya tunggu dulu sehingga saya pergi ke UK.

Saya merasa di saat ini, waktu saya keluar dari jawatan Mufti ini 'timing' yang betul. Disebabkan pergolakan yang berlaku di Perlis itu sendiri, keadaan politik di sana juga situasi politik Malaysia yang sekan-akan mencari arah.

Elok saya dedahkan diri di dunia Barat yang mana saya belum ada pengalaman ini, mengambil nafas baru, ambil pengalaman baru yang boleh dikongsi, yang boleh dianalisa, pembacaan dan research.

APAKAH PERGOLAKAN YANG DIMAKSUDKAN ITU?

Kita tahu Perlis selepas pilihanraya agak pelbagai-bagai...Masih lagi desus desas, berbunyi itu dan ini yang tak habis-habis....

HARAPAN PADA PENGGANTI MUFTI PERLIS

Saya harap supaya, bukan saja jawatan Mufti Perlis. Apa saja jawatan. Mufti bukan untuk jawatan untuk keselesaan. Kita dapat sampaikan tanggung jawab dan sampaikan risalah yang betul. Ini penting. Kalau kita fikir sekadar nak kerja dan ada gaji, ini akan memandulkan peranan kita sebagai Mufti.

PANDANGAN DR TENTANG KEBERKESANAN PERANAN MUFTI-MUFTI LAIN

Saya tidak tahu adakah peranan mereka dah berjaya atau tidak..... tapi rakyat, orang awam berhak menilai. Adakah Mufti-mufti mereka telah mainkan peranan atau masih perlukan memainkan peranan yang lebih?

BOLEH DR KOMEN KEBERKESANAN PERANAN JAKIM, JAIS DAN JABATAN AGAMA LAIN SETAKAT INI, ADAKAH SUDAH MEMADAI?

Saya bagi pandangan berbagai-bagai dan mengkritik juga beberapa tindakan Mahkamah Syariah mengenai hak-hak wanita. Masih ada lagi kekurangan ataupun isu-isu tertangguh yang tidak sepatutnya. Walaupun pandangan itu kurang selesa.

Jika kita tengok aktiviti JAKIM, apa saja aktiviti akan mengelakkan penglibatan saya, melainkan perkara yang tidak boleh tidak, melibatkan saya. Kita tahu mereka ada banyak panel berhubung dengan agama, Pengarah JAKIM tidak akan melibatkan saya walaupun Mufti-mufti lain terlibat.

Mungkin mereka merasa kurang selesa dengan pandangan-pandangan saya. Dan kebiasaan golongan agama ini, dia pantang dikritik. Saya pernah memberikan teguran kepada Pengarah JAKIM sendiri tentang sikap double standardnya walaupun sikap itu tidak mendukacitakan saya pun.

Tetapi hakikatnya jika mereka bersikap demikian, satu hari nanti jika mereka tidak berubah, mereka akan diubah.

ANTARA SUNGUTAN ORANG RAMAI, TIDAK ADA KESERAGAMAN DALAM SESUATU ISU AGAMA DAN MAJLIS FATWA JUGA LAMBAT MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? TAPI DR SELALU MELONTAR PANDANGAN YANG CEPAT DAN BOLEH DITERIMA RAMAI

Alhamdulillah, antara perkara Allah kurniakan saya ialah pandangan yang dilontarkan, akan tertumpu pada pandangan itu. Pandangan itu akan menjadi panas. Ramai yang menilai pandangan itu secara serius walaupun ada yang pro dan kontra.

Mungkin juga rakyat Malaysia sudah sampai satu pendidikan yang agak baik. Tak nak lagi pandangan you beri, I ikut. Ini tak boleh, ini boleh. Ini haram ini halal. Mereka nak alasan, apa kemunasabahan, apa fakta disebaliknya.

Saya sentiasa tidak lupa melampirkan alasan-alasan pandangan. Saya membiasakan rakyat supaya mereka celik agama dan tidak hanya menjadi pengikut tanpa mengetahui apa yang mereka ikut.

SEDUTAN TEMURAMAH BHGN 3

PANDANGAN DR TENTANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Saya mempunyai kesimpulan yang saya 'simpan' untuk Majlis Fatwa ini. Jika negara ini hendak diubah, kita perlu lihat juga kesungguhan Majlis Fatwa. Sukar untuk simpulkan.

Saya cadangkan Mesyuarat Majlis Fatwa disiarkan pada orang ramai melalui siaran TV. Rakyat tak tahu selama ini....Biar rakyat menilainya sendiri bagaimana sesuatu isu itu dibincang dan ketelusannya.

Nak tengok sejauhmana isu itu dibincangkan dengan masak atau tidak atau dibincangkan dengan penuh ketelusan ataupun tidak sekadar melepaskan tuntutan atau kebisingan orang ramai.

Pengerusi Majlis Fatwa juga perlu dinilai kemunasabahan untuk terus berada di jawatan berkenaan.

Saya tidak mahu membuat penilaian keputusan itu positif atau negatif. Kita akan beri hak itu pada rakyat jika mesyuarat fatwa itu disiarkan.

PADA PANDANGAN DR, APA YANG MENYEBABKAN SESUATU FATWA ITU LAMBAT DIKELUARKAN CONTOHNYA ISU YOGA

Saya tidak mahu menyebut, ada perkara-perkara yang luarbiasa. Tidak boleh ada dalam pemikiran orang yang ingin memberi fatwa, sebelum memberi fatwa, "Adakah hal ini diredhai oleh pihak-pihak tertentu atau tidak?".

Mereka hendaklah berfikir fatwa berteraskan fakta dan ilmu dan bukan berteraskan, kehendak dan keredhaan dari pihak-pihak tertentu. Kalau itu boleh dilakukan, maka perbincangan itu hendaklah ilmiah dan mantap. Rakyat patut diberi peluang melihat bagaimana proses mereka melakukan ini.

MUNGKINKAH ADA SUARA LAIN YANG DAPAT MENGGANTIKAN DR BILA DR KE UK NANTI

Tidak dapat pastikan tempat saya akan terisi atau tidak. Setengah pihak lega saya tidak jadi mufti lagi. Kita lihat mungkin ada orang lain akan juga berikan pandangan. Perubahan terus akan ada, rakyatlah yang akan nilainya.

BAGAIMANA DENGAN KESINAMBUNGAN MEMANTAU AGENDA PERUBAHAN MINDA YANG DR USAHAKAN SELAMA INI?

Ribuan bantahan yang dihantar kerana saya hendak berhenti. Tidak puas hati dinyatakan oleh berbagai individu dan persatuan bahawa kata tindakan saya silap. Rasanya tindakan saya melepaskan jawatan Mufti itu tidak silap.

Bila ada isu, mereka semua ini menunggu pandangan saya tentang isu ini. Insya Allah, tindakan saya tidak silap.

Saya sendiri tidak tinggalkan negara ini begitu saja kerana jentera perubahan minda senantiasa bergerak aktif di pelbagai-bagai peringkat. Saya bekerja ke arah itu. Saya juga ada laman website saya, drmaza.com. Kedua, saya harapkan media masih berikan ruang untuk saya melontarkan pandangan.

Ketika saya jadi Mufti Perlis, saya gunakan jawatan itu untuk sampaikan mesej. Dalam kedudukan saya sekarang, sama seperti dulu.

Saya berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada kerja rasmi dan kerja asal saya. Mungkin di UK, saya dapat rehat sikit, itupun di sana kelihatnnya rakyat Malaysia telah menyusun banyak program untuk saya hadir.

Rakyat Malaysia di seluruh dunia dari negara-negara barat menghantar emel mengikuti perkembangan saya. Mungkin itu kesan dari apa yang saya buat kerana mereka tahu aktiviti saya. Mereka mengharapkan pandangan-pandangan dari saya.

KOMEN DR TENTANG GELARAN 'MUFTI KONTROVERSI'

Kontroversi mungkin kerana perkara-perkara itu dilontarkan di tengah media. Tetapi biasanya, media tidak akan kutip kalau tidak kontroversi.

Elemen kontroversi itu kadang-kadang perlu supaya berita itu dapat diedarkan. Kadang-kadang bila saya wujudkan sesuatu berita itu, saya 'create'kan sedikit elemen supaya sekurang-kurangnya mesej itu dapat dibaca kalau tidak siapapun tidak kutip.

Itu salah satu dari strategi dalam kita sebarkan pemikiran. Itu juga barangkali perlu dibaca oleh ahli-ahli pemikiran - mesti tahu apakah saluran suatu pemikiran itu naik ke hadapan.

ADAKAH DR MELIHAT DIRI DR SEBAGAI SEORANG STRATEGIS?

Saya tak tahu...saya satu orang yang banyak memikirkannya..strategi sesuatu tindakan. Dalam dua tahun itu kebanyakan strategi itu berjalan dengan baik.

Ketika saya dikepung dengan kepungan yang agak dasyat oleh pihak agama tertentu, saya melepasi kepungan itu, Alhamdulillah.

SELEPAS SEKEMBALI NANTI, APAKAH PROFESION PILIHAN DR?

Orang melihat saya sebagai apa? Saya melihat diri saya sebagai Mohd Asri....

Saya akan maklumkan kemudian. Ramai ahli politik yang ramalkan tarikh-tarikh tertentu, akhirnya tarikhnya pun tak menjadi.

Jadi, buat apa saya meramalkan satu tarikh ataupun perancangan akhirnya tak jadi, menjadi satu tempelak orang ramai saja.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan