Tee Keat belum serah senarai wakil MCA dalam kabinet kepada PM

Diterbitkan: Rabu, 19 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat hari ini berkata, beliau masih belum menyerahkan senarai kedudukan wakil parti itu dalam Kabinet kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sesunggunya setakat ini saya belum lagi mengemukakan sebarang senarai cadangan (jawatan dalam kabinet) kepada Perdana Menteri," katanya di lobi Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Sin Chew Daily yang menyatakan bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menyerahkan surat perletakan jawatan dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan jawatannya dalam Kabinet.

Pada pemilihan MCA Oktober lalu, Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Bagaimanapun, Tee Keat berkata, beliau akan menyerahkan senarai cadangan itu dalam tempoh terekat dan soal mengenai perletakan jawatan itu tidak akan timbul.

"Bila saya kemukakan cadangan yang saya maksudkan itu, maka si anu (seseorang) ingin meletakkan jawatan atau tidak letak jawatan tidak jadi mustahak lagi," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana menganggap ia sebagai khabar angin.

"Saya tak akan bagi sebarang komen bagi sesuatu berita yang dianggap cuma khabar angin atau spekulasi dan tak ada pengesahan," katanya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui rakannya bahawa ada laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan