Ka Chuan serah surat letak jawatan menteri

Diterbitkan: Rabu, 19 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ong Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, kata seorang pembantu kepada Ka Chuan hari ini.

Sumber itu memberitahu Bernama, Ka Chuan menyerahkan "surat peletakan jawatan tanpa tarikh" ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Okt. Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

"Ya, beliau (Ka Chuan) ada menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Datuk Seri Ong (Tee Keat). Itu saja yang boleh saya katakan," kata pembantu itu sebelum menamatkan perbualan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mengikut prosedur, seseorang menteri perlu mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.

Abdullah sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Uzbekistan dan Turkmenistan.

Sumber parti memberitahu Bernama, Ka Chuan memutuskan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tee Keat terlebih dahulu untuk membolehkan presiden parti mencadangkan pengganti bagi jawatan dalam Kabinet di samping jawatan lain.

Bagaimanapun Ka Chuan kini berada di Tehran sejak Isnin lalu untuk melakukan lawatan rasmi selama seminggu dan dijangka pulang ke Malaysia hujung minggu ini.

Sementara itu, Tee Keat yang ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau masih belum menyerahkan senarai kedudukan wakil parti itu dalam Kabinet kepada Perdana Menteri.

"Sesungguhnya setakat ini saya belum lagi mengemukakan sebarang senarai cadangan (jawatan dalam Kabinet) kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Sin Chew Daily yang menyatakan bahawa Ka Chuan telah menyerahkan surat peletakan jawatan dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan jawatannya dalam Kabinet.

Bagaimanapun, Tee Keat berkata, beliau akan menyerahkan senarai cadangan itu dalam tempoh terdekat dan soal mengenai peletakan jawatan itu tidak akan timbul.

"Bila saya kemukakan cadangan yang saya maksudkan itu, maka si anu (seseorang) ingin meletakkan jawatan atau tidak letak jawatan tidak jadi mustahak lagi," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana menganggap ia sebagai khabar angin.

"Saya tak akan bagi sebarang komen bagi sesuatu berita yang dianggap cuma khabar angin atau spekulasi dan tak ada pengesahan," katanya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui rakannya bahawa ada laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan.

Jawatan Ka Chuan sebagai Pengerusi MCA Perak sebelum ini telah digantikan oleh Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha yang disebut-sebut akan dicadangkan untuk menjawat jawatan menteri.

Ka Chuan berkhidmat sebagai menteri kira-kira tujuh bulan sebelum kekalahannya kepada Soi Lek bulan lepas.

Dalam pemilihan MCA itu uga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung kalah dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden manakala Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon turut gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa pusat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan