Karpal dipilih Pengerusi Kaukus Integriti dan Kebebasan Institusi Kehakiman

Diterbitkan: Khamis, 13 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dipilih sebagai Pengerusi Kaukus Integriti dan Kebebasan Institusi Kehakiman yang ditubuhkan bagi mengkaji dan menilai mengenai badan kehakiman negara.

Mesyuarat penubuhan kaukus berkenaan dihadiri lebih daripada 30 ahli Parlimen Pakatan Rakyat manakala Barisan Nasional (BN) hanya diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Karpal yang juga Pengerusi DAP ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan berharap lebih ramai ahli Parlimen BN akan menganggotai kaukus berkenaan yang dilihat begitu penting dalam mewujudkan badan kehakiman yang telus dan berkesan.

"Kita mahu kaukus ini mampu memberi satu perubahan kepada badan kehakiman negara ini terutamanya ketika berhadapan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kredibiliti hakim," katanya.

Ditanya reaksinya apabila hanya seorang wakil BN yang hadir beliau berkata: "Hanya Nazri (Datuk Seri Mohamed) yang datang...itu sangat bagus, namun kita harap mesyuarat seterusnya nanti akan dihadiri lebih ramai (wakil BN)."

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga memutuskan supaya jawatan timbalan pengerusi akan diisi oleh ahli Parlimen BN yang akan dipilih oleh anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Enam wakil Pakatan Rakyat yang menganggotai kaukus berkenaan ialah Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau), R. Sivarasa (PKR-Subang), M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah), Datuk Ab. Halim Ab. Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) dan Dr. Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan