ABIM mahu isu fatwa pengkid dibincang secara ilmiah - Berita Semasa | mStar

ABIM mahu isu fatwa pengkid dibincang secara ilmiah

Diterbitkan: Rabu, 12 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYAAngkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy ataupun pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

Fatwa yang dikeluarkan akan melalui melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

Menurut Presiden ABIM Yusri Mohamad, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah.

Kata Yusri, "Jika pertikaian tetap timbul, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup dan sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi." ABIM juga khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini. ABIM berpendapat bahawa pendekatan terbaik untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan-perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh pihak-pihak ataupun individu-indidvidu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

Pada masa yang sama, ABIM mencadangkan agar pihak Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan mengambil inisiatif lebih agresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum rasional fatwa pengharaman tomboy atau pengkid untuk meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan