Caj ceramah MOSTI peroleh maklumat Muszaphar temu lagi hari ini

Diterbitkan: Selasa, 11 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam mengadakan pertemuan dengan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bagi menyiasat dakwaan bahawa angkasawan negara itu menerima bayaran siri ceramah mencecah RM8,000 sejam.

Pertemuan susulan dijangka hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, pertemuan semalam - yang pertama sejak isu itu muncul, menjurus kepada proses mengumpul fakta berkaitan isu tersebut.

"Saya tidak boleh menyatakan secara terperinci kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan kami. Pertemuan hari ini lebih terarah kepada proses mengumpul fakta-fakta terhadap kes ini,” katanya kepada mStar Online semalam.

Difahamkan pertemuan itu berlangsung kira-kira dua jam di bangunan Parlimen pagi semalam.

Jelasnya, dalam perbincangan semalam pihak kementerian mendengar sendiri kenyataan daripada angkasawan negara terbabit berhubung tuduhan ke atasnya.

"Esok kami akan ada satu lagi pertemuan dengan beliau (Sheikh Muszaphar). Selepas itu saya akan siapkan laporan berhubung isu ini," katanya.

Tambah beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.

Ditanya apa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, Fadillah berkata:

"Kami sekadar berbincang, semuanya tertumpu kepada tuduhan ke atas beliau (Sheikh Muszaphar)."

Sabtu lalu, Sheikh Muszapar menafikan dakwaan beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu.

Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.

Tegas Sheikh Muszaphar, dakwaan bahawa beliau menerima beribu-ribu ringgit bagi setiap ceramah adalah tidak benar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula berkata, beliau belum lagi menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan terhadap Sheikh Muszaphar.

"Perkara itu masih disiasat. Tetapi beliau telah menyatakan bahawa tiada perkara seumpama itu," kata Abdullah selepas mempengerusikan Yayasan Inovasi Malaysia di bangunan Parlimen.

BERITA TERDAHULU:

Caj ceramah RM8,000; MOSTI temui Angkasawan Negara hari ini

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dijadual mengadakan pertemuan hari ini untuk menyelesaikan isu berkaitan bayaran siri ceramah, yang didakwa mencecah RM8,000 sejam.

Ketika dihubungi, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut tetapi berkata:

"Saya hanya akan memberi kenyataan berhubung isu ini esok selepas pertemuan dengan dia (Sheikh Muszaphar)."

Ditanya sejauh mana kebenaran komen ayah angkasawan terbabit, Datuk Sheikh Mustapha Shukor yang mengatakan anaknya tidak diberi layanan yang baik oleh kerajaan dan kementerian terbabit, Fadillah berkata:

"Kita perlu berbincang dengan dia (Sheikh Muszaphar). Kita perlu dengar dari pihaknya, saya tak mahu ulas lanjut mengenainya. Kita tunggu esok."

Jelas beliau, kementeriannya perlu menjalankan siasatan dan mengkaji kesahihan maklumat dalam berita yang disiarkan dalam media.

"Kita tidak boleh mempercayai berita tersebut kecuali jika mereka punya bukti kukuh mengenai perkara ini," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini pihak kementerian masih belum menerima apa-apa laporan mengenainya.

Kelmarin, Sheikh Muszapar menafikan dakwaan beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu.

Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.

Tegas Sheikh Muszaphar, dakwaan bahawa beliau menerima beribu-ribu ringgit bagi setiap ceramah adalah tidak benar.

Sementara itu, ayah angkasawan terbabit, Sheikh Mustapha turut menafikan perkara tersebut berkata anaknya itu tidak diberi layanan yang baik.

Jelas Mustapha, anaknya itu hanya menerima gaji RM5,000 sebulan dan sebuah kereta daripada kerjaan manakala perbelanjaan lain seperti pemandu peribadi dan pengawal peribadi dibayar oleh angkasawan negara itu dengan pembiayaannya sendiri.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan