Bebas tuduhan kes Altantuya Razak kata Alhamdulillah

Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI, 6 petang] KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda, (gambar) yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dibebaskan pagi ini.

Bagaimanapun Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sekitar pukul 10 pagi tadi, Abdul Razak hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah."

Beliau tidak mengulas lanjut.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan mengenai perasaannya apabila ditemui di luar rumahnya di Bukit Damansara pukul 2 petang tadi, beliau hanya berkata: "Alhamdulillah."

Abdul Razak yang kelihatan gembira menambah, beliau berpuasa sebagai tanda kesyukuran.

Ketika ditanya sejak bila berpuasa, Abdul Razak berkata: "Sejak dipenjarakan 22 bulan yang lalu."

Dengan komen itu, beliau yang keluar sekali lagi dari rumahnya kira-kira pukul 2.10 petang menasihatkan para pemberita jangan menunggu kerana akan pulang lewat.

"(Sidang media) bukan hari ni... jangan tunggu, saya lama...," katanya apabila ditanya bila sidang media akan diadakan.

Terdahulu pada sebelah pagi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Setelah membuat penilaian maksimum yang cukup tinggi terhadap kesemua bukti secara total, Mohd. Zaki berkata, "Saya berpuas hati wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama (Azilah Hadri) dan yang kedua (Sirul) untuk menjawab tuduhan."

"Dengan itu saya memanggil tertuduh pertama dan kedua membela diri. Bagi tertuduh ketiga (Abdul Razak), saya mendapati tiada kes prima facie baginya untuk menjawab tuduhan.

"Oleh itu, beliau dibebaskan dan dilepaskan," kata Mohd. Zaki dalam keputusannya setebal 10 halaman yang dibacakan beliau.

Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

PERTUDUHAN:

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masingmasing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Mayatnya dilupus dengan cara diletupkan dengan bahan letupan.

Cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Kes sensasi itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican and Ahmad Zaidi Zainal manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh adalah peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mula bersidang pukul 9.35 pagi tadi.

Kes berprofil tinggi itu berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, melibatkan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi.

Ia merupakan dua kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian hari ini.

Satu lagi ialah kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah pada 9 pagi.

Sungguhpun pintu mahkamah hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi, namun wakil media tempatan dan luar negara serta orang ramai berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 5.30 pagi bagi memastikan mereka dapat masuk ke dalam mahkamah kerana ruang galeri awam hanya boleh menampung kirakira 50 orang.

Bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, yang memakai suit biru gelap tiba pada pukul 8.50 pagi bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan Duta Mongolia ke Thailand yang juga ditauliahkan ke Malaysia, Siikhuu Saisainbileg.

Karpal Singh tiba pada pukul 8.57 pagi.

Ibu bapa Abdul Razak tiba pada pukul 8.51 pagi diikuti anak perempuan Abdul Razak, Rowena tiga minit kemudian manakala isteri Abdul Razak Mazlinda Makhzan tiba pada pukul 9 pagi.

Anggota keluarga Azilah dan Sirul Azhar masing-masing tiba 7.20 pagi.

Azilah dan Sirul Azhar masih memakai penutup muka ala Ninja bagi menyembunyikan wajah mereka daripada orang ramai.

BERITA TERDAHULU

Pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara dan Shah Alam, Selangor menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi ini untuk mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi - melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tinjauan mStar Onlinedi kawasan pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati orang ramai termasuk saudara-mara tertuduh kes pembunuhan Altantuya sudah mula berkumpul sejak 7.30 pagi.

Begitu juga di kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Bapa Altantuya turut hadir, kira-kira pukul 8.50 pagi.

Berbanding di Shah Alam, bilangan orang yang mula berhimpun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur sejak 7.30 pagi tadi tidak ramai berbanding ketika Ogos lalu.

Anwar tiba di kawasan mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan diiringi peguam Sankara Nair.

Turut hadir untuk mengikuti kes Anwar ialah bekas penulisan ucapan beliau. Dr. Munawar Anees.

Semalam Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Munawar agar mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya serta menyerahkan rayuan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya dihujah berdasarkan merit.

Pihak keselamatan mula membenarkan wartawan masuk ke kamar mahkamah sejak pukul 8.30 pagi di kedua-dua lokasi - di Jalana Duta, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Di Shah Alam, Mazlinda Makhzan - isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh, tiba kira-kira 8.55 pagi dan disusuli Razak lima minit kemudian.

Apabila tiba di kawasan mahkamah, Mazlinda terus memeluk Razak dan menangis.

Keluarga tunang seorang lagi tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri tiba pukul 7.15 pagi.

Bagi kes pembunuhan Altantuya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin dijadual menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan tersebut iaitu sama ada ketiga-tiga tertuduh perlu dipanggil untuk membela diri ataupun sebaliknya.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar (keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babakbabak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lalu.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu, perbicaraan kes Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berasa di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan