PM minta maaf akui kesilapan kos belian Eurocopter

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi mengakui berlaku sedikit kesilapan semasa beliau menyatakan mengenai harga pembelian Eurocopter EC-725 semasa mengumumkan keputusan penangguhan pembeliannya Selasa lalu.

"Mengenai harga, semasa saya keluarkan kenyataan iaitu RM1.7 bilion, itu berlaku sedikit kesilapan... saya minta maaf pada kesilapan itu.

Beliau berkata, angka "dibundarkan" sebanyak RM1.7 bilion yang diberikan sebelum ini adalah silap.

"Semasa saya membuat kenyataan yang ia sebanyak RM1.7 bilion, itu silap... saya minta maaf bagi kesilapan itu, pegawai letakkan RM1.607 bilion, jadi saya kata kita boleh bundarkan angka itu kepada RM1.7 bilion.

"Pagi ini semasa saya di Kementerian Pertahanan, saya dimaklumkan yang angka itu salah, sebenarnya harganya RM1.607 bilion. Tetapi ini adalah akademik sebenarnya, apabila kami memutuskan kemudiannya untuk merundingkan pembelian helikopter dan pada ketika itu kami berpendapat tiba masanya untuk kami berbuat demikian, kami lihat apakah harganya yang sebenar," katanya.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Daya Saing Industri Sawit di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, pertikaian mengenai harga dalam urusan pembelian Eurocopter pada peringkat ini akan menjadi akademik dan teknikal khususnya apabila kerajaan memutuskan menangguhkan pembelian pesawat itu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas isu yang dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat hari ini mengenai perbezaan harga pembelian helikopter terbabit.

Semalam, anggota Dewan Rakyat dari DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri supaya menjelaskan perbezaan dalam jumlah kos yang diperuntukkan untuk membeli 12 helikopter berkenaan.

Menurut Lim, pengumuman Abdullah menunjukkan kerajaan akan memperuntukkan RM1.67 bilion iaitu berbeza berbanding dengan nilai RM1.1 bilion yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah pada Sabtu lalu.

"Bagaimana tender RM1.1 bilion boleh berkembang menjadi RM1.7 bilion sebelum surat tawaran dikeluarkan," kata Lim.

Beberapa ahli Parlimen juga membangkitkan hari ini.

Pada Selasa, Abdullah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725, yang keseluruhannya bernilai RM1.679 bilion, pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil.

Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lepas.

Abdullah berkata kerajaan akan membeli helikopter itu lebih awal jika keadaan ekonomi kembali pulih.

Beliau berkata proses pembelian pesawat itu memgambil masa selama tiga tahun.

Abdullah turut menjelaskan bahawa peruntukan pembelian Eurocopter itu adalah sebanyak RM1.679 bilion dan bukannya RM2.3 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata prestasi helikopter itu telah terbukti kerana beberapa negara termasuk Perancis, telah menggunakannya sebagai pesawat sokongan tempur di Afghanistan.

"Juruterbang kami juga telah menggunakan dan mencuba helikopter itu di pameran LIMA, jadi mereka tahu akan prestasinya.

"Sebelum kami mengesahkan pembelian itu, biasanya kami akan pergi melakukan pemeriksaan penghantaran, ketika itulah helikopter itu diperiksa secara terperinci, jadi tiada apa yang luarbiasa mengenai apa yang kami lakukan itu.

"Ia bukan satu eksperimen, ia telah diuji malahan dalam situasi tempur," katanya.

Najib berkata, pembangkang sebenarnya suka memperbesarbesarkan isu urusan pembelian hekikopter itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan